TIKTOK lancar lagu raya, kembalikan keceriaan sambut lebaran kepada seluruh rakyat Malaysia.
TIKTOK lancar lagu raya, kembalikan keceriaan sambut lebaran kepada seluruh rakyat Malaysia.
Sudirman Mohd Tahir


TIKTOK, destinasi utama untuk video mudah alih bentuk pendek mengumumkan pelancaran lagu raya, Kecoh Raya dengan kerjasama Universal Music Malaysia dan Rocketfuel Entertainment Sdn Bhd.

Lagu penuh semangat itu disertai cabaran hashtag baru #KecohRayaTikTok untuk mendorong rakyat Malaysia menikmati lagu itu bersama-sama sempena musim perayaan ini.

Memandangkan tahun ini kali kedua umat Islam di Malaysia meraikan Aidilfitri dalam keadaan norma baharu, TikTok Kecoh Raya adalah usaha untuk membawakan kembali kenangan manis semangat raya yang penuh keriuhan di TikTok.

Kecoh Raya menampilkan Alvin Chong, Diana Danielle dan Kowachee dari Universal Music Malaysia, Usop dan Ara Johari dari Rocketfuel Entertainment Sdn Bhd, Daniel dan Zahier dari ERA dan Izzryn dari TikTok.

Bagi Alvin Chong, lagu itu sesuai dengan aplikasi TikTok.

"Kecoh Raya sangat sesuai untuk TikTok kerana ia adalah lagu penuh semangat dan sangat menarik. Sebilangan besar lagu raya yang pernah kita dengar lebih melankolik, orang bercerita mengenai bagaimana mereka tidak dapat bersama ahli keluarga mereka untuk menyambut lebaran.

"Namun, Kecoh Raya menampilkan suasana raya yang ceria, yang dapat menyuntik elemen positif serta kegembiraan kepada pendengar. Saya harap anda semua akan terhibur menikmatinya," katanya.

Bagi rapper Kowachee, merakamkan lagu Kecoh Raya adalah pengalaman baharu buat dirinya.

"Ini adalah pengalaman baru buat saya, kerana berpeluang menyanyi dan bukan sekadar rap sahaja. Penggambaran video muzik juga menyeronokkan serta mengujakan, kerana ada artis Rocketfuel Entertainment Sdn Bhd dan Universal Music Malaysia serta pencipta kandungan TikTok. Saya suka bekerja dengan mereka, kami rasa seronok," katanya.

Sementara itu, Usop pula menyifatkan pembabitan dalam lagu Kecoh Raya adalah sesuatu yang istimewa buat dirinya.

"Ia membawa aura berbeza yang jarang berlaku dan saya perlu menari sewaktu penggambaran video muzik ini dilakukan. Ia menyeronokkan. Saya bersyukur kerana berpeluang bekerja dengan artis-artis lain. Mereka hebat!" katanya.

Berbeza dengan penyampai radio ERA, Daniel Zaini berkata, lagu itu membangkitkan semangat raya yang lebih meriah.

"Lagu ini seperti hembusan udara segar untuk lagu raya moden. Liriknya cukup mudah untuk pendengar ingati, dan sangat seronok bekerja dengan artis lain. Kami bertukar pendapat dan sudut pandangan, yang mana kebanyakannya memberikan komen positif," katanya.

Sementara itu, Pengurus Pemasaran Kanan Wilayah SEA, TikTok, Loh Kai Zhi, berkata, kerjasama ini memberikan satu lagi platform baharu pengguna laman sosial.

"Pengalaman hari raya bersama dengan musim perayaan utama lain di negara ini telah berkembang secara digital sepanjang tahun lalu dan media sosial membantu memastikan rakan dan keluarga tetap terhubung untuk perayaan digital.

"Selain menghubungkan orang ramai untuk pengalaman interaktif, TikTok memainkan peranan penting dalam memastikan ramai tetap terhibur dan terdidik. Untuk terus memanfaatkan potensi dan kekuatan platform TikTok, kami dengan senang hati bekerjasama dengan Universal Music Malaysia dan RocketFuel Entertainment Sdn Bhd sempena Raya 2021 untuk #KecohRayaTikTok," katanya.

Untuk menambahkan keseronokan, cabaran #KecohRayaTikTok, anjuran bersama Rocketfuel Entertainment Sdn Bhd dan Universal Music Malaysia, mendorong semua orang untuk bersama-sama menyanyikan lagu ini di mana video Raya yang dihasilkan paling kreatif dan kecoh berpeluang memenangi iPhone 12 256GB dan baucer Raya bernilai RM500.

Banyak lagi hadiah boleh diraih termasuklah Apple Watch, Apple Airpods dan baucar Raya eksklusif. Kempen yang bertujuan menyatukan semua orang sekalipun berjauhan ini berlangsung dari 7 hingga 23 Mei ini.

Dalam pada itu, TikTok juga memperkenalkan kempen rujukan dalam aplikasi yang digelar TikTok TREATS untuk memberi penghargaan kepada komuniti TikTok atas penyertaan dan kreativiti mereka sambil berfungsi sebagai platform untuk mempamerkan jenama rakan kongsi.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 Mei 2021 @ 6:43 AM