Kudsia Kahar
Kudsia Kahar
Ridzuan Abdul Rahman


Kuala Lumpur: Penyampai radio terkenal Linda Onn bersama bekas ketuanya, Kudsia Kahar tampil mempertikaikan tindakan penyampai radio dan tetamu jemputan yang didakwa tiada empati terhadap luahan hati seorang pendengar, baru-baru ini.

Linda menerusi program The ONNs Show kendaliannya, mengajak Kudsia berbual mengenai topik yang mencetuskan perdebatan hangat di kalangan ramai pihak ini.

"Seorang pemanggil di sebuah radio stesen menceritakan mengenai ditinggalkan ibunya. Susah payah dia jaga adik-adik dia. Lepas itu ayahnya meninggal.

"Dia cerita dalam keadaan yang sedih lepas itu penyampai radio itu, balasan dia kepada orang yang bercerita ialah maafkan ajelah mak awak itu. Apapun dia tetap mak. Okey yang pertama.

"Yang kedua (tetamu) pun cakap benda yang sama, macam manapun dia tetap ibu. So yang dia cakap itu betul. Mak kita macam manapun ya, itu betul," kata Linda.

Menurutnya ramai yang tidak puas hati di situ dan andai kata Kudsia yang jadi penyampai itu, ada pemanggil telefon bercakap macam itu apa respon yang patut dia jawab waktu itu?

Kudsia dalam jawapan balas mempersoalkan kredibiliti seorang deejay untuk memberi solusi kepada masalah pendengar.

"Pertama sekali saya akan tanya awak soalan, apa yang membuatkan anda jadi pakar dalam kehidupan pendengar anda tu? Pakar sangat ke yang anda tahu kehidupan dia, apa yang membawa kekecewaan dan apa yang membawa kesedihan dalam kehidupan dia.

"We are never the expert in our listeners lives, they are the expert of their own lives. Jadi maknanya kalau dia menceritakan kepada kita, sebenarnya dia hanya nak kita mendengar.

"Tiada pendengar expect deejay sebenarnya untuk menyelesaikan masalah mereka. Itu memang daripada sejak azali lah stesen radio swasta dekat Malaysia ni sebab kita tahu dan pendengar bijak," katanya.

Menurutnya, pendengar tahu penyampai radio bukannya kaunselor, bukannya ahli psikologis atau pakar psikologis.

"Jadi mereka tahu kita tak akan beri mereka jawapan tapi dia nak kita mendengar. A shoulder to cry dan untuk seseorang mengatakan saya faham.

"Dan seseorang yang kata saya faham dan saya minta maaf awak melalui semua ini. Itu sahaja. Tak payah kita nak kata 'apa-apa pun anda kena maafkan juga walaupun dia keji sebab dia ibu anda'. Pada saya, saya minta maaf, itu salah.

"Cara untuk memahami orang-orang yang mengalami trauma ini adalah dengan mendengar masalah mereka. Zaman sekarang kita faham sebab kita dah banyak membaca tentang trauma contohnya bahan bacaan yang ada dekat Internet yang ditulis oleh pakar-pakar psikologi kita boleh baca dan kita tahu sebenarnya kerja kita bukan untuk menyelesaikan masalah terutama bagi orang yang melalui depresi, kita hanya perlu duduk dan mendengar," katanya.

Berkenaan isu sama, Linda memberikan contoh cara untuk menjawab luahan pendengar itu sekiranya dia berada di situasi terbabit.

"Saya akan cakap terima kasih sudi berkongsi diharapkan awak tabah mengharungi hari-hari mendatang dan awak buat keputusan sebaik-baiknya untuk diri awak. Apa sahaja keputusan awak pastinya dihormati oleh orang sekeliling," katanya yang mendapat pujian Kudsia atas kematangan yang ditunjukkan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 April 2024 @ 4:42 PM