KRILL (kanan) meminta masyarakat tidak menyalahkan pelawak yang membuat jenaka dan ketawa sendiri kerana mereka memang dibayar tinggi bagi tujuan itu. FOTO/NSTP
KRILL (kanan) meminta masyarakat tidak menyalahkan pelawak yang membuat jenaka dan ketawa sendiri kerana mereka memang dibayar tinggi bagi tujuan itu. FOTO/NSTP
Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor


Bekas penyampai radio Khairil Azwan Mohd Rashid atau Krill, 48 meminta masyarakat tidak menyalahkan pelawak yang membuat jenaka dan ketawa sendiri kerana mereka memang dibayar tinggi bagi tujuan itu.

Krill berkata, keadaan itu berlaku disebabkan penyampai radio sebenar yang mengendalikan segmen bersama pelawak tidak mengawal slot terbabit.

"Sepatutnya deejay sebenar mendahului pelawak bukannya sama-sama nak jadi pak lawak. Kalau masing-masing tahu peranan, isu buat lawak ketawa sendiri tidak akan berlaku," katanya ketika dihubungi Harian Metro, hari ini.

Krill mengulas kenyataan bekas penyampai radio THR, Isma Halil Hamzah baru-baru ini yang kecewa apabila penyampai radio selebriti asyik ketawa ketika bersiaran di radio.

Dia 20 tahun berpengalaman sebagai juruhebah radio berkata, pihak pengurusan stesen wajar mengawal jenaka berlebihan tetapi masing-masing mengejar 'rating' (penarafan).

"Saya faham ia berkaitan wang tetapi jangan biarkan lawak merapu. Jika orang ramai tidak faham penyampai radio asyik ketawa, saya penyampai radio terawal lagilah tak faham.

"Isu ini seperti masakan, masak tak sedap tetapi dikatakan sedap atau boleh tahan. Maaf, saya labelkan mereka (penyampai radio) sebagai 'komedeejay'," katanya.

Menurutnya, dalam penyampaian maklumat di radio jenaka hanyalah 'icing of the cake' iaitu rencah menyedapkan makanan.

"Peranan saya dahulu bukan berlawak tetapi 'anchor man' yang mengawal perjalanan segmen radio. Jika pelawak membuat jenaka tidak menjadi, deejay sebenar perlu bertenang supaya mereka tahu keadaan sebenar.

"Cuba lihat pelawak Mat Saleh (Eropah), mana ada mereka ketawa dengan jenaka sendiri. Hanya jenaka berkualiti layak diterima tetapi ini tidak, semuanya nak gelak," katanya.

Dia yang berkhidmat di ERA FM, X FM dan Sinar FM antara 1998 hingga 2015 bagaimanapun memuji pelawak Shuk yang tidak keterlaluan ketika bertugas di konti radio.

Ditanya mengenai pendapatan penyampai radio, Krill tidak menolak kemungkinan Johan menerima bayaran paling mahal.

"Jumlah tepat saya tidak berani komen kerana ia rahsia syarikat. Saya tidak dapat mengesahkan atau menafikan Johan meraih puluhan atau ratusan ribu ringgit.

"Setahu saya pendapatan bergantung kenaikan rating dan populariti. Kalau popular sekalipun, jika rating pendengar tidak naik gaji tidak sebesar mana," katanya.

Menurut Krill, penyampai radio selebriti yang meningkatkan rating disukai stesen kerana membawa masuk iklan dan boleh minta gaji lebih.

"Bayaran untuk penyampai radio selebriti lebih mahal berbanding deejay lain apatah lagi jika memenangi anugerah," katanya.

Berkaitan dirinya, Krill memberitahu dia kini berkhidmat di sebuah agensi iklan radio di Bandar Baru Bangi sejak Jun tahun lalu dan pernah menjadi juruhebah jemputan di IKIM FM.

"Kalau diikutkan hati memang rindu nak jadi penyampai radio tetapi saya faham ini zaman BBNU (budak baru nak up). Saya menerima hakikat zaman ini pelawak mengisi pekerjaan itu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 Oktober 2019 @ 3:14 PM