HANIS Aliaa bersama Nur Farihah (kiri) Penyampai Radio UFM UiTM.
HANIS Aliaa bersama Nur Farihah (kiri) Penyampai Radio UFM UiTM.

Bukan mudah untuk bahagikan masa belajar dan bekerja pada masa sama. SHUHADA MANSOR bertemu dua penyampai radio muda sambil bertukar cerita antara cabaran dan keseronokan bekerja di kala masih berstatus penuntut institusi pengajian tinggi.

Isu bekerja sambil belajar mungkin sudah beberapa kali dikongsi di ruangan ini, tetapi kali ini ia mungkin memberi idea kepada sesiapa yang terbuka hati untuk mencuba. Menjadi penyampai radio pada usia muda apatah lagi masih berstatus pelajar bukanlah perkara mudah untuk diputuskan. Fokus utama belajar adalah amanat ibu bapa yang dipesan pada hari pertama mendaftar diri sebagai mahasiswa.

Namun, bagi dua gadis muda ini, pandangan mereka berbeza malah berusaha untuk membina laluan kerjaya ketika masih belajar. Diakui, bukan mudah untuk membuat keputusan pada awalnya, tetapi dorongan rakan, keluarga dan orang sekeliling banyak memberi semangat untuk mereka terus melontar suara sehingga ke hari ini. Ikuti perkongsian pengalaman dua penyampai radio Universiti Teknologi Mara (UFM).

Makin banyak stesen radio, makin luas peluang kerja

Semakin kita bergantung kepada media sosial, tanpa kita sedar di satu sudut lain, kita masih memerlukan radio untuk mendapat info secara terkini. Ketika memandu contohnya, radio satu-satunya panduan untuk kita kemas kini keadaan trafik bagi memudahkan perjalanan. Mustahil untuk kita bergantung sepenuhnya kepada telefon bimbit atau gadjet lain kerana ada situasi radio masih relevan untuk semua.

Menyedari hakikat itu, makin banyak stesen radio dibuka dan tidak keterlaluan jika dikatakan ia ibarat cendawan tumbuh selepas hujan. Setiap stesen radio berlumba untuk mendapat stesen pilihan nombor satu sekali gus menjadikan radio mereka mempunyai tahap kredibiliti tinggi, hebat serta berpengaruh.

Bagi Noor Farihah Rozali, 23, dia melihat perkembangan ini sebagai peluang kerjayanya pada masa depan. Mungkin pada ketika ini dia sekadar bekerja sambilan sebagai penyampai radio universiti tetapi tidak mustahil bakatnya itu boleh dikembangkan kepada peringkat lebih serius kelak.

Dua tahun meletakkan diri sebagai antara penggerak UFM, Farihah berkata, ia banyak mengajarnya bagaimana untuk berkomunikasi dengan lebih baik selain mempersiapkan diri untuk dia melangkah ke alam pekerjaan sebenar nanti.

Pelajar semester lima jurusan Komunikasi dan Media Massa (Masscom) (Kewartawanan) ini mengakui peluang kerjaya sebagai penyampai radio ada kelasnya tersendiri.

"Walaupun boleh dikatakan masih amatur kerana saya hanya penyampai radio universiti, tapi yakin pengalaman selama dua tahun ini mampu mengukuhkan peluang untuk saya terus bertapak dalam bidang ini. Banyak stesen radio yang sudah ada nama tersendiri menjadi pilihan saya untuk cuba kelak, tapi apa pun saya perlu usaha lebih untuk berjaya. Walaupun ada pengalaman sedikit, tapi kena ingat persaingan tetap ada," katanya.

Menurutnya lagi, dia menganggap kerjaya penyampai radio ini sebagai kerja sambilan selain untuk menimba pengalaman.

"Kalau nak ikutkan memang sukar untuk bahagikan masa ulang kaji dan bekerja tapi lama-lama kita akan tahu sendiri bagaimana untuk aturkan kerja," katanya.

DJ bukan untuk pelajar masscom saja

Menyedari kedua-dua penyampai radio ini adalah penuntut jurusan Masscom, terdetik persoalan adakah tugas penyampai radio ini hanya terbuka kepada pelajar jurusan itu. Hanis menjelaskan, peluang menjadi penyampai di UFM bukanlah tertumpu kepada pelajar Masscom saja, tetapi ia terbuka kepada penuntut jurusan lain.

"Juruhebah radio adalah seseorang yang bekerja untuk sampaikan berita dan pengumuman atau lebih tepat deejay. Saya juga faham tanggapan segelintir menganggap Masscom adalah jurusan yang fokus kepada bidang media, tetapi di UFM kita tidak spesifik.

"Memang hakikatnya begitu tapi iyalah, tidak semestinya setiap pelajar Masscom ada kebolehan petah bercakap dan tak mustahil juga pelajar jurusan sains sukan tak ada bakat menjadi DJ. Oleh sebab itu, kita bukan peluang kepada sesiapa saja," kata Hanis Aliaa Hidzir, 21.

Hanis yang juga rakan penyampai Farihah berkata, dia mengakui dirinya sendiri pada awalnya bukanlah seorang yang mudah bergaul dan 'ringan mulut', tetapi apabila ada keinginan untuk mencuba, dia yakin diri untuk teruskan.

"Imbas kembali pada mula pembabitan, saya memang tahu kewujudan UFM tapi tak pernah terfikir untuk menjadi salah seorang penyampai radio. Semuanya bermula apabila kawan sekelas yang sudah menjadi dj di UFM ajak saya untuk cuba nasib. Tapi saya tak rasa boleh buat sebab saya jenis yang pemalu sedikit, bukannya petah bercakap. Tetapi lepas cuba uji bakat, akhirnya diterima dan jadi dj sampai sekarang," katanya yang ke udara tiga kali seminggu.

Jadi pilihan anak muda

Berkongsi pengalaman kerja di tempat sama, Hanis berkata UFM adalah radio difokuskan untuk semua. Menurutnya, walaupun kedengaran agak 'skema' dengan status radio universiti tetapi stesen itu ada tarikannya tersendiri.

"Kami tahu pendengar UFM majoriti penuntut UiTM sendiri, tetapi oleh kerana frekuensinya mencecah 60 kilometer radius, jadi ia juga boleh didengar warga Lembah Klang hingga Nilai 3. Beberapa slot yang disukai pendengar ada kami fokuskan seperti Pilihan UFM dan Sampaikan Salam. Apabila kita dapat tahu ada pendengar setia, kita akan rasa lebih semangat untuk beri yang terbaik, " katanya yang juga penuntut semester lima jurusan Komunikasi dan Media (penyiaran).

Latih lebih cekap

Jika secara mata kasar kita hanya lihat juruhebah radio hanya bercakap tetapi sebenarnya mereka juga perlu peka beberapa perkara lain. Antaranya dengan memperkenalkan muzik. Pelbagai genre mungkin boleh mengelirukan oleh itu mereka perlu arif dalam hal ini untuk membezakan irama rock, balada, irama Malaysia, hip hop, dangdut, latin, Hollywood, Bollywood, nasyid kotempari, nasyid dakwah dan lain-lain lagi.

Selain itu, deejay juga perlu cekap untuk menemurah jemputannya. Sesi bersembang bukannya mudah kerana deejay perlu tahu latar belakang tetamu jemputan sebelum ke udara. Kesalahan ketara ketika ke udara adalah boleh dianggap besar kerana membabitkan tanggapan dan penilaian pendengar. Itu antaranya.

Untuk memupuk minat generasi muda bergelar juruhebah radio yang hebat dan mempunyai aura di hati pendengar bukanlah hal remeh Banyak kriteria yang diperlukan untuk melahirkan deejay yang diminati ramai selain mempunyai minat mendalam, kepetahan dalam berkomunikasi, tenang, fokus pada kerja dan berfikiran terbuka. Bagi yang berminat, tidak salah berlatih berbicara sebelum menghadiri sesi temu duga.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 Oktober 2014 @ 5:02 AM