Erra Fazira dinobatkan Primadona Telenovea pada malam Anugerah Telenovela ke 9. FOTO ROHANIS SHUKRI
Erra Fazira dinobatkan Primadona Telenovea pada malam Anugerah Telenovela ke 9. FOTO ROHANIS SHUKRI
Zaara Talita


Kuala Lumpur: Erra Fazira, 50, diberi penghargaan sebagai Primadona Filem Melayu di Anugerah Telenovela ke-9 yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur, di sini, malam tadi.

Erra berkata, bukan mudah untuk menggalas gelaran primadona yang agak besar itu, namun dia tidak melihat tanggungjawab itu sebagai satu beban besar.

"Saya memang terkejut dengan pengiktirafan ini. Sebenarnya saya merasakan agak awal untuk saya diberikan pengiktirafan ini. Apa pun terima kasih atas kepercayaan ini," katanya.

Dalam majlis yang sama, pelakon, Meerqeen memenangi kategori Bintang Telenovela dan Pelakon Lelaki Popular, manakala Sophia Albarakbah pula dinobatkan sebagai Ratu Telenovela dan Pelakon Wanita Popular.

Meerqeen, 23, berkata, dia bersyukur kerana ia anugerah pertama disertainya dan menang.

"Saya tak jangka kemenangan ini, tapi saya tahu peminat dan keluarga saya sentiasa di belakang. Mereka sentiasa berkerja keras untuk kemenangan ini. Ia juga menjadi pembakar saya untuk terus berkarya," katanya.

Pasangan pelakon, Kamal Adli dan Uqasha Senrose pula memenangi Pasangan Serasi Popular, manakala drama Melur Untuk Firdaus diangkat sebagai Telenovela Popular.

Sementara itu, penyanyi dan pelakon, Hazama Azmi buat kali pertama diangkat sebagai Pelakon Lelaki Terbaik dan Datin Intan Najuwa sebagai Pelakon Wanita Terbaik.

Turut membawa pulang trofi adalah Alif Satar menerusi kategori Artis Versatil Telenovela, Anna Jobling (Artis Sensasi Telenovela), Nelissa Nezam (Artis Bintang Harapan Telenovela), Gambit Saifullah (Artis Prolifik Telenovela) dan Hisyam Hamid (Artis Bintang Pujaan dan Pesona Telenovela).

Selain itu, Jesnita dinobatkan sebagai Novel Popular, Epilog 3 Naga (Novel Terbaik), Wan Afzam Wan Daud (Pengarah Terbaik), Rangkaian Televisyen Media Prima (Stesen Penyiar Telenovela Terbanyak), Datuk Yusof Haslam (Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat) dan Roslan Madun (Anugerah Budayawan Sepanjang Hayat).

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 Februari 2024 @ 12:22 PM