Bell Ngasri dinobatkan Bintang Paling Popular.
Bell Ngasri dinobatkan Bintang Paling Popular.
Syafil Syazwan Jefri

Kuala Lumpur: Menepati ramalan, nama pelakon dan pelawak, Bell Ngasri diumumkan sebagai pemenang Anugerah Bintang Paling Popular di Anugerah Bintang Popular BH 35 (ABPBH35), yang berlangsung sebentar tadi.

Selain menggondol anugerah utama iaitu berupa trofi serta pakej menunaikan umrah dari Felleraskin, Bell juga diumumkan sebagai pemenang untuk kategori Artis Komedi Popular.

Bell atau nama sebenarnya Nasrizal Ngasri yang sudah 37 tahun berkarya di dalam industri berkata,

"Yak yak yeay! Saya bersyukur ke hadrat Ilahi. Allahuakbar. Kalau anda semua nak tahu, saya adalah orang yang pernah cakap, saya tak perlukan populariti ini.

"37 tahun saya berada di dalam industri, tak bergantung kepada benda ini, tapi masih berada dalam industri ini," katanya.

Bell juga berkongsi kisah perjalanan awalnya bersama ibu dan dua adiknya, Darling Ngasri dan Datin Anne Ngasri.

"Sekecil-kecil watak saya berada di belakang hero dan di celah-celah orang. Kalau ada iklan, di situ saya diletakkan. Tapi, saya percaya ada juga orang yang minat dan hari ini menjadi bukti.

"Saya juga ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada mama. Mak saya, dari saya berumur enam tahun, adik saya tiga tahun (Darling) dan dua tahun (Anne), dia angkut naik bas mini. Bagi susu dan dibawa berlakon.

"Sebenarnya, hadiah ini untuk dia juga. Dia nak sangat anak dia berlakon sampai sekarang. Bell dah buat," katanya.

Saat menyampaikan ucapan, Bell juga turut memberikan penghargaan kepada Allahyarham Mamat Khalid.

"Lagi satu, saya tak lupa juga kekuatan watak Barkoba. Kita beri tepukan kepada arwah Mamat Khalid pencipta watak Barkoba itu. Terima kasih ABPBH35, TV3, pengundi dan penyokong semua.

"Akhir kata, mari kita sama2 yak yak yeay. ," katanya.

Kemenangannya itu berjaya mengenepikan beberapa nama yang disebut-sebut antaranya Aina Abdul, Amir Masdi, Anna Jobling, Ben Amir dan ramai lagi.

ABPBH35 turut menyaksikan pemenang-pemenang kategori lain iaitu Amir Ahnaf (BBNU Lelaki Popular), Anna Jobling (BBNU Wanita Popular, Pelakon TV Wanita Popular, Pasangan TV Popular), Khai Bahar (Penyanyi Lelaki Popular), Aina Abdul (Penyanyi Wanita Popular, Lagu Popular - Terus Hidup), Dolla (Kolaborasi/Artis Berkumpulan Popular), Beto Kusyairy (Pelakon Filem Lelaki Popular), Sophia Albarakbah (Pelakon Filem Wanita Popular), Meerqeen (Pelakon TV Lelaki Popular, Pasangan TV Popular), Tyzo (Penyampai Radio Popular), Elly Mazlein (Pengacara TV Popular), Aaron Aziz dan Nadiya Nisaa (Pasangan Filem Popular), Melur Untuk Firdaus (Drama Popular), Syahmi, Asif dan Yoe Parey (Lawak Viral), Aliff Irfan (Pencipta Kandungan Popular), Sally Whoo (TikToker Popular) dan Yuna (Anugerah Eksplorasi Seni ABPBH35).

ABPBH35 diacarakan oleh gandingan pengacara, Johan dan Ain Edruce serta dihiburkan dengan persembahan hebat antaranya, Aina Abdul, Aizat, Datuk Yusni Hamid, Baby Shima, Amelina, Dayang Nurfaizah, Roslan Madon, Haziq Rosebi, Judika, Datuk Seri Siti Nurhaliza dan ramai lain.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 Julai 2023 @ 12:06 AM