TROFI yang bakal diterima pemenang.
TROFI yang bakal diterima pemenang.
Sudirman Mohd Tahir


Undian dalam talian Top 5 Anugerah Telenovela ke-8 (ATN 8) dibuka pada 20 September selepas proses penutupan undian daripada fasa sebelum ini pada 18 September melalui laman web rasmi Anugerah Telenovela ke-8. 

ATN 8 adalah anjuran bersama Yayasan Pembangunan Buku Negara (YPBN) dan D'Ayu Pictures Sdn Bhd yang bakal menobatkan pemenang dari Kategori buku dan penerbitan drama serta telefilem.

Ahli Lembaga Pengarah Anugerah Telenovela ke-8, Datuk Rosmarayu Mokhtar berkata, ATN adalah anugerah bagi menghargai pengkarya yang sudi mengadaptasikan sebuah penerbitan drama, telefilem mahupun filem daripada mana-mana buku yang diterbitkan oleh penerbit buku tanah air.

"Anugerah ini terbahagi kepada dua konsep penilaian iaitu pemilihan calon oleh juri profesional dan peminat melalui undian dalam talian.

"Undian dalam talian sangat mendapat sambutan hingga mencecah 4.8 juta penyertaan peminat. Sambutan luar biasa kali ini adalah disebabkan kesetiaan peminat terhadap artis pujaan masing-masing. Pernah juga sistem pengundian ini cuba diceroboh, namun kami memiliki sistem kawalan keselamatan yang sangat kebal," katanya.

Menurut Rosmarayu, sistem pengundian kali ini sangat mencabar kerana ia menggabungkan tiga tahun pencalonan iaitu karya terbitan 2019, 2020 dan 2021.

Rosmarayu
Rosmarayu

"Begitu juga dengan penjurian oleh juri profesional apabila semua juri melihat daripada pelbagai sudut hingga berlaku perdebatan bagi menilai pandangan juri demi memilih calon terbaik sebagai pemenang.

"Pengundian dalam talian Fasa 1 ke-8 mula dilancarkan pada Mac lalu bagi memberi peluang kepada peminat untuk mengundi karya adaptasi 'Book2Screen' iaitu novel ke drama, telefilem dan filem yang mereka rasakan layak untuk bergelar pemenang," katanya.

Pada tahun ini, terdapat 106 calon telenovela berentap bagi merebut lebih 40 anugerah dalam dua kategori iaitu Kategori Popular (100% Undian dalam talian) dan Kategori Terbaik (100% penjurian oleh juri profesional).

Lima kategori popular itu adalah Novel Popular, Telenovela Popular, Pelakon Lelaki Telenovela Popular, Pelakon Wanita Telenovela Popular dan Pasangan Serasi Popular.

Semua adaptasi yang tercalon mestilah ditayangkan di televisyen, stesen satelit atau stesen umum (Free To Air. FTA) atau pawagam.

Malam Gala Anugerah Telenovela ke-8 bakal diadakan pada 29 Oktober depan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 September 2022 @ 7:01 AM