TENGKU Iesta raih kepuasan luar biasa apabila filem Gila Baby bolot lima anugerah utama.
TENGKU Iesta raih kepuasan luar biasa apabila filem Gila Baby bolot lima anugerah utama.
KHABIR Bhatia ketika menerima trofi Pengarah Komedi Terbaik (Filem).
KHABIR Bhatia ketika menerima trofi Pengarah Komedi Terbaik (Filem).
KERJA keras AC Mizal berbaloi dengan kemenangan ini.
KERJA keras AC Mizal berbaloi dengan kemenangan ini.
SHARIFAH Sakinah tenang apabila dipilih sebagai pemenang.
SHARIFAH Sakinah tenang apabila dipilih sebagai pemenang.
NADIYA tak sangka dapat tewaskan empat calon lain yang disifatkannya lebih hebat.
NADIYA tak sangka dapat tewaskan empat calon lain yang disifatkannya lebih hebat.
Oleh Wahi Aziz


Anugerah Lawak Warna (ALW) 2015 yang berlangsung di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS), Selangor Jumaat lalu memahatkan filem Gila Baby dengan sejarah tersendiri apabila menyapu bersih semua lima anugerah utama termasuk Filem Komedi Terbaik.

Pada penganjuran edisi ketiga ALW, filem terbitan Grand Brilliance Sdn Bhd dan arahan Khabir Bhatia itu turut mengungguli kategori Pengarah Komedi Terbaik (Filem), Pelakon Komedi Lelaki Terbaik (Filem), Pelakon Komedi Wanita Terbaik (Filem) dan Lakon Layar & Skrip Komedi Terbaik (Filem).

Gila Baby menampilkan lakonan menarik Beto Kusyairy, Nadiya Nisaa dan Sharnaaz Ahmad.

Penerbitnya Tengku Iesta Tengku Alaudin berkata, kemenangan besar diraih itu memberikan kepuasan luar biasa.

“Saya sebenarnya tidak menyangka langsung kejayaan besar akan berpihak kepada Gila Baby. Ia satu penghargaan buat kami sepasukan.

Saya dan pasukan hanya mahu datang memberikan sokongan pada ALW asalnya. Alhamdulillah, rezeki berpihak kepada filem ini dan ia membuktikan ALW mempunyai cita rasa yang baik,” katanya.

Nadiya Nisaa yang pertama kali membawa pulang trofi ALW pula tidak menaruh harapan memandangkan dia berdepan saingan sengit daripada calon lain seperti Yana Samsudin, Nur Fazura, Azizah Mahzan dan Nelydia Senrose.

“Sebab itu saya tergamam dan buntu apabila diumumkan sebagai pemenang sebab tidak sangka langsung. Mungkin sudah tuah dan rezeki saya serta Gila Baby kerana saya menjangka filem arahan Mamat Khalid, Amir & Loqman Pergi Ke Laut yang akan menang besar,” katanya.

Selain Gila Baby, lapan lagi kategori terbaik mengangkat pelakon Sharnaaz Ahmad selaku Pelakon Komedi Lelaki Terbaik (TV) menerusi drama bersiri Suamiku Encik Sotong, Jihan Muse (Pelakon Komedi Wanita Terbaik (TV) - Jihan Nak Buat Rumah Terbuka, Karoot Komedia X S3 (Rancangan Komedi Terbaik Bersiri) dan Super Spontan 2014 (Akhir) mengungguli Rancangan Komedi Terbaik Bukan Bersiri.

Siri Keluarga Iskandar 2 terbitan KL Motion Pictures pula memenangi Rancangan Drama TV Komedi Terbaik (Bersiri), Jihan Nak Buat Rumah Terbuka terbitan KL Motion Pictures (Telemovie Komedi Terbaik), Mazlan Manan menerusi Cinta Kedua (Lakon Layar & Skrip Komedi Terbaik TV) dan Pengarah Komedia Terbaik TV dinobatkan kepada Syed Khairul Farez (Jihan Nak Buat Rumah Terbuka).

Bagi kategori popular pula, Sepahtu memenangi Artis Lawak Duo atau Berkumpulan Paling Popular, Datuk AC Mizal (Pengacara Lawak TV Paling Popular), Sharifah Sakinah (Artis Lawak Wanita Paling Popular) dan Jep Sepahtu (Artis Lawak Lelaki Paling Popular).

AC Mizal yang meraih kejayaan pertama di ALW berkata, kerja keras dan komitmen terhadap pengacaraan terbayar dengan pengiktirafan itu.

“Sebelum ini saya sudah banyak tercalon dan tewas dalam pelbagai acara anugerah tapi saya tidak pernah berhenti berusaha dalam memberikan mutu kerja yang terbaik.

“Kemenangan kali ini jadi manis sebab ia dipilih peminat setia yang sentiasa percaya pada kerja saya. Apa pun berlaku mereka tetap sokong dan ini (kemenangan) adalah untuk mereka kerana siapalah saya tanpa mereka,” katanya yang turut mengacarakan ALW2015 bersama Sherry Alhadad dan Zulin Aziz.

Sharifah Sakinah yang mengekalkan kemenangan Artis Lawak Wanita Paling Popular untuk tahun kedua pula berkata, dia lebih bersedia menerimanya berbanding kejayaan sebelum ini.

“Kalau tahun lalu memang saya terkejut dan tidak tahu nak buat apa tapi kali ini saya lebih tenang dan layan saja apabila diumumkan menang.

“Saya pun tak tahu macam mana boleh terus menang sebab ramai yang selalu hentam saya. Mungkin sokongan kelab peminat Energetic Ting Tong menjadi nadi kemenangan ini,” katanya.

Pada majlis bertemakan ‘Celebration’ itu, Anugerah Khas Juri diberikan kepada pelawak, pelakon dan pengarah filem veteran, AR Badul.

Sepatutnya, ALW2015 wajar dikenang sebagai penganjuran yang selamba dan ‘gempak’ kerana rekaan pentas dan penyusunan tempat duduk calon di atas pentas seperti hari konvokesyen di univerisiti.

Bagaimanapun, ALW2015 ‘tercemar’ apabila perjalanan majlis meleret dan variasi gimik hambar serta pengisian yang membosankan.

Cuma, usaha Astro menganjurkan ALW2015 bagi merancakkan perkembangan dunia lawak tanah air berhak dipuji walaupun jumlah kategori dipertandingkan menyusut lapan berbanding 21 tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 Ogos 2015 @ 10:18 AM