AMIN Idris
AMIN Idris

Kuala Lumpur: Pengacara dan penceramah motivasi, Amin Idris menempelak tindakan segelintir pihak yang mengangkat individu yang terkait kontroversi panas menjadi terkenal di platform dalam talian.

Amin berkata, dia mahu trend itu dihentikan kerana akan memberi laluan mudah kepada golongan yang memberi imej tidak baik atau tidak berilmu menjadi terkenal.

"Malaysia ini senang nak jadi 'terkenal'. Buat lagu raya menyanyi sumbang, hina pelajar yang menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan terbaharu jadi bapa ayam sekelip mata jadi 'selebriti'.

"Tolong berhenti membuat orang bodoh menjadi terkenal. Nilai dan ilmu kini dipandang sepi serta sendu," luahnya dalam satu hantaran di Instagram.

Biarpun tidak menyatakan nama individu yang dimaksudkan, namun rata-rata sudah dapat meneka dan bersetuju dengan luahan yang dibuat Amin.

Malah, terdapat netizen yang mengecam tindakan sebuah laman web penstriman yang menjemput 'Hot Daddy' atau lelaki dikenali Hasli Ikhwan Arif Zul Hasli yang didakwa atas tuduhan mengiklankan khidmat persundalan menerusi aplikasi X sebagai tetamu podcast.

Individu itu hadir ke podcast terbabit selepas diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 Februari 2024 @ 10:38 AM