VERSTAPPEN sukar digugat ketika ini. FOTO AFP
VERSTAPPEN sukar digugat ketika ini. FOTO AFP
Agensi

London: Nico Rosberg menasihatkan Max Verstappen agar lebih berhati-hati mengelak daripada mempunyai rasa berpuas hati selepas mendominasi saingan Formual Satu (F1) ketika ini.

Kemenangan Verstappen di Grand Prix (GP) Belgium adalah yang kelapan berturut-turut dan ke-10 dalam 12 perlumbaan musim ini sekali gus menyaksikan bintang Belanda itu selesa dengan kelebihan 125 mata berbanding rakan sepasukan di Red Bull, Sergio Perez.

Ketika Verstappen dilihat sukar untuk disekat daripada meraih gelaran juara dunia kali ketiga berturut-turut, Rosberg yang juga juara dunia 2016 menasihatkan Verstappen agar lebih berhati-hati.

"Dia perlu berhati-hati supaya dia tidak berpuas hati," kata Rosberg baru-baru ini kepada Sky Sports F1 Podcast.

"Dia berada dalam kedudukan yang luar biasa di mana tiada sesiapa boleh mencabarnya. Situasi itu akan menyebabkannya rasa berpuas hati dan boleh kehilangan sedikit motivasi, jadi dia perlu berhati-hati dengan perkara seperti itu.

"Tetapi saya tidak nampak perkara itu berlaku kepadanya kerana dia begitu fokus sepanjang masa. Ia seperti seni, amat menakjubkan," katanya.

Rosberg yang bersara selepas muncul juara dunia 2016 menganggap Verstappen sebagai salah seorang pemandu terbaik F1 sepanjang zaman.

"Verstappen memandu seperti seorang legenda," tambahnya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 Ogos 2023 @ 9:46 AM