FOTO menunjukkan ‘Hot Daddy’ sebagai tetamu podcast dalam sebuah laman web penstriman.
FOTO menunjukkan ‘Hot Daddy’ sebagai tetamu podcast dalam sebuah laman web penstriman.
Noor Hidayah Tanzizi


Kuala Lumpur: "Memang kami 'lepak' dengan individu itu, tetapi bukan bermakna kami menyokong tindakannya sebaliknya sebagai pencipta kandungan realiti kehidupan, kami mahu beri kesedaran."

Begitu reaksi pengasas sebuah laman web penstriman susulan perkongsian gambar bersama lelaki dikenali sebagai 'Hot Daddy' yang didakwa terbabit aktiviti persundalan di media sosial mendapat kritikan netizen.

Menurutnya, pihaknya hanya menyiarkan gambar tanpa kenyataan menyokong individu terbabit, malah menegaskan mereka tidak pernah sama sekali akan menyokong sebarang perkara melanggar moral.

"Kami kongsi gambar itu beberapa hari lalu namun video podcast itu belum disiarkan, tetapi ada pihak buat tanggapan kononnya kami sokong individu berkenaan tanpa melihat atau mendengar podcast terlebih dulu.

"Disebabkan perkongsian tidak sahih, tanpa kenal pasti akarnya, (membuatkan) netizen fikir kami menyokong dia (lelaki itu) sedangkan kami tidak sokong perbuatan yang salah, malah melawan dan mencegah perkara berkenaan.

"Ketika perjumpaan itu, kami secara depan-depan beritahu ada perkara yang salah dilakukan dan perlu bertanggungjawab," katanya ketika dihubungi, semalam.

Katanya, sebagai pencipta kandungan realiti kehidupan, pihaknya mengetengahkan perkara berkenaan sebagai kesedaran kepada orang ramai terutama golongan muda mengenai tindakan tidak wajar dilakukan.

"Dalam perbualan, beberapa perkara berlaku. Perdebatan serta diskusi berlaku antara kami dan tetamu.

"Kami platform rancangan realiti, maka semua video dikeluarkan berdasarkan realiti kehidupan sebenar.

"Sepatutnya pihak berkenaan yang menyebar perkara tidak benar perlu menunggu dahulu apa yang kita sampaikan dan tidak membuat tanggapan tanpa usul periksa," katanya.

Katanya, perbualan bersama individu itu bukan untuk meraih populariti murahan, malah sama sekali tidak mempromosikan aktiviti persundalan.

"Kita tunjuk perkara ini salah supaya (masyarakat) jangan buat seperti itu kerana generasi muda kita makin lama makin rosak termasuk yang berlaku di Twitter (kini X) ketika ini terutama moral banyak sudah out pada mereka yang kerap dan berbangga buat (menghasilkan konten) darkside.

"Segmen realiti kehidupan di negara ini tidak banyak (namun) yang pasti kami akan terus menentang mereka melakukan perkara tidak bermoral dan 100 peratus tidak menyokongnya," katanya.

Katanya, pihaknya juga membuktikan menerusi banyak video termasuk memberikan platform kepada golongan terbabit untuk berkongsi pengalaman hitam sebagai pengajaran.

Terdahulu, netizen mengkritik dan mempersoalkan tindakan laman web penstriman berkenaan kerana menjemput 'Hot Daddy' yang disifatkan seolah-olah menyokong dan mempromosikan apa yang dilakukan individu itu.

Sebelum ini media melaporkan, lelaki dikenali sebagai 'Hot Daddy' bersama dua teman wanitanya didakwa di Mahkamah Sesyen, Kuala Lumpur kerana membuat pengiklanan khidmat persundalan menerusi aplikasi X.

Anjurlah majlis bermanfaat pada ummah

Tindakan laman web penstriman menjemput lelaki dikenali sebagai 'Hot Daddy' sebagai tetamu podcast yang seolah-olah mengidolakan individu itu menjadi ikutan adalah tidak betul.

Mufti Pahang, Datuk Seri Dr Abdul Rahman Osman berkata, laman web penstriman itu tidak sewajarnya mengutamakan 'Hot Daddy' sebagai tetamu.

"Kita disuruh untuk melakukan amalan yang mencari keredaan Allah. Adakah kita panggil itu untuk dia mengajak orang (mencari) keredaan Allah atau menyebarkan lagi perkara yang tidak baik?

"Kita harapkan supaya majlis yang kita adakan memberi manfaat kepada orang ramai, umat Islam dan agama Islam," katanya kepada Harian Metro, semalam.

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai tindakan laman web penstriman berkenaan menganjur sesi bual bicara dengan seorang lelaki yang sebelum ini didakwa di mahkamah atas tuduhan mengiklankan video lucah menerusi aplikasi X.

Tindakan menjemput lelaki itu sebagai tetamu podcast mendapat pelbagai reaksi warganet dan menganggap ia adalah promosi terhadap perlakuan zina.

Mengulas lanjut, Abdul Rahman bagaimanapun berkata, tidak menjadi kesalahan sekiranya seseorang itu bercerita 'membuang' perbuatan tidak baiknya yang sebelum ini pernah dilakukan.

"Dia bercerita supaya 'buang' perbuatan yang tidak baik dilakukan, itu tidak mengapa.

"Misalnya ada orang buat ceramah sekarang ini, panggil selebriti yang selama ini dia mungkin mengajak kepada hiburan, tapi sekarang ini dia ke arah kesedaran Islam, itu boleh," katanya.

Abdul Rahman juga mengharapkan agar tindakan laman web penstriman yang menjemput 'Hot Daddy' itu tidak mengajak perkara yang tidak baik dilakukan.

"Saya tak tahulah kesannya sebab perkara itu tidak berlaku (lagi). Kita harapkan perjumpaan itu adalah yang tidak mengajak perkara tidak baik," katanya.

Cubaan promosi persundalan

Langkah menjemput 'Hot Daddy' sebagai tetamu podcast umpama mempromosi serta menormalisasikan persundalan,' kata Mufti Pulau Pinang Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor.

Kerana itu, menurutnya, beliau kesal dengan tindakan sebuah laman web penstriman yang menjemput Hot Daddy sebagai tetamu dalam program podcast.

"Sekiranya keadaan ini tidak dikekang atau dicegah, dibimbangi ia akan mempengaruhi remaja dan membawa mereka ke jurang keruntuhan akhlak," katanya dihubungi, semalam.

Wan Salim berkata demikian ketika diminta mengulas isu sebuah laman web penstriman menganjur sesi bual bicara bersama Hasli Ikhwan Arif Zul Hasli, 32, yang didakwa di mahkamah atas tuduhan mengiklankan khidmat persundalan di aplikasi X.

LAPORAN Harian Metro, 27 Januari lalu.
LAPORAN Harian Metro, 27 Januari lalu.

Tindakan menjemput Hasli yang dikenali sebagai 'Hot Daddy' itu sebagai tetamu podcast mendapat pelbagai reaksi warganet dan menganggap ia adalah promosi terhadap perlakuan zina.

Mengulas lanjut, Wan Salim berkata, kerajaan sepatutnya memandang serius perkara terbabit dan mengambil tindakan terhadap golongan yang mempromosikan kemungkaran sedemikian kerana ia boleh merosakkan nilai akhlak masyarakat.

"Sehubungan itu, kita mohon pihak berkuasa mengambil tindakan segera mendakwa penganjur podcast berkenaan mengikut undang-undang sedia ada.

"Semoga ia menjadi pengajaran kepada semua pihak dan sebagai satu langkah mencegah tindakan menormalisasikan maksiat di negara ini," katanya lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 Februari 2024 @ 6:59 AM