Syamsul Debat. FOTO arkib NSTP
Syamsul Debat. FOTO arkib NSTP
Raja Noraina Raja Rahim


PERSONALITI program motivasi dan keagamaan, Syamsul Amri Ismail atau lebih dikenali sebagai Syamsul Debat menerima Anugerah Sumbangsih daripada Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), malam tadi.

Pegawai Pusat Komunikasi Strategik USIM Mohd Zaini Othman berkata, anugerah itu sebagai pengiktirafan kepada sumbangan beliau dalam kejayaan program pembangunan pengucapan awam seperti debat dan pidato.

Menurutnya, Syamsul adalah jurulatih debat Bahasa Melayu USIM sejak 2008 sehingga kini dan sudah membimbing serta melahirkan ramai pendebat berkebolehan yang menaikkan nama universiti dalam arena perdebatan di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

"Pelbagai kejayaan besar dirangkul pasukan debat di bawah bimbingan beliau apabila muncul johan dalam Debat Diraja Kategori Muda (2009), Bahas Pendidikan Islam ASEAN di Brunei, Debat Piala Perdana Menteri dan Debat Alam Sekitar pada 2011.

"Pasukan turut muncul johan pada pertandingan Debat Ibnu Khaldun (2015), Debat Saham Piala MISEE (2016) serta Cabaran Debat Muda (2016)," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Selain itu, katanya, pasukan debat turut berjaya mara dalam beberapa pertandingan akhir dan kejayaan terkini adalah Naib Juara Debat Piala Menteri Besar Johor 2017 yang menyaksikan pendebat USIM turut dinobatkan Pendebat Terbaik.

Menurut Zaini, Anugerah Sumbangsih itu diterima oleh wakil Syamsul yang disampaikan Pengerusi Lembaga Pengarah Prof Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak pada Majlis Anugerah Kecemerlangan Siswa USIM (AKSIS) 2016/2017 di Dewan Tuanku Canselor, USIM.

Katanya, sebanyak 18 anugerah disampaikan kepada siswa cemerlang dalam pelbagai kategori antaranya kepimpinan, kesukarelawanan, keusahawanan dan kebudayaan.

Majlis berkenaan dianjurkan Bahagian Hal Ehwal Pelajar sebagai medan mengiktiraf sumbangan dan pencapaian penuntut dalam pelbagai program kemahasiswaan yang menyumbang kepada peningkatan kemahiran insaniah selain mengharumkan nama universiti.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 Disember 2017 @ 2:13 PM