PROGRAM Munajat Untuk Palestin bagi menyuarakan solidariti Usim untuk Palestin mendapat sambutan pelbagai lapisan masyarakat.
PROGRAM Munajat Untuk Palestin bagi menyuarakan solidariti Usim untuk Palestin mendapat sambutan pelbagai lapisan masyarakat.
Suliati Asri

SOKONGAN dan perhatian masyarakat dunia pada bumi Palestin tidak pernah surut kerana kekejaman rejim Zionis pada penduduk di sana tidak pernah berhenti.

Peperangan dan penganiayaan yang berlaku terhadap rakyat Islam Palestin sesuatu yang tidak boleh dipandang enteng.

Menyedari hakikat itu, Universiti Sains Islam Malaysia (Usim) tidak terkecuali bersolidariti bersama masyarakat global memberi sokongan kepada Palestin dan mengecam Israel melalui platform keseniaan dengan penganjuran program Munajat Untuk Palestin.

Munajat Untuk Palestin yang berlangsung secara dalam talian menghimpunkan sejumlah 30 tetamu khas yang dijemput untuk meluahkan rasa dan ekspresi mereka melalui bait-bait puisi, nyanyian kerohanian dan tazkirah.

Mereka terdiri daripada Pengurusan Universiti, Karyawan Seni Usim, Ikon Seni, staf, alumni dan pelajar antarabangsa.

Penganjuran program Munajat Untuk Palestin oleh Pusat Kebudayaan Usim adalah usaha meningkatkan kesedaran dan keinsafan umat Islam untuk membantu dan menggambarkan suara kemanusiaan sejagat.

Pengarah Pusat Kebudayaan Usim, Ismail Ahmed berkata, suara semangat menentang keganasan Zionis Israel perlu ditonjolkan dalam pelbagai bentuk.

"Penentangan kepada musuh yang ingin menghapuskan umat Islam perlu ditentang sekeras-kerasnya.

AHMAD Fedtri antara personaliti seni yang turut serta dalam Program Munajat Untuk Palestin.
AHMAD Fedtri antara personaliti seni yang turut serta dalam Program Munajat Untuk Palestin.

"Melalui medium seni, kami tampil untuk menunjukkan solidariti kepada Palestin. Ini kerana laungan solidariti dari suara seni juga mampu meningkatkan semangat kebersamaan kita dengan saudara seislam kita di Palestin," katanya.

"Kami juga berbesar hati kerana beberapa personaliti seni tanah air turut bersama dalam program ini antaranya Ahmad Fedtri Yahya, Datuk Nash, Siso Kopratasa, Ustazah Sharifah Khasif Fadzilah Syed Mohd Badiuzzaman dan Muhammad Razin Che Mud.

"Perkongsian dari pelajar antarabangsa Usim yang berasal dari Palestin, Shehab Heba Am mengenai penderitaan yang dialami keluarganya di Gaza yang terbabit dalam serangan Israel ketika Ramadan dan Syawal juga amat mengesankan" tambahnya.

Pengisian Munajat Untuk Palestin yang diadakan secara dalam talian sepenuhnya dimulai dengan persembahan nyanyian Seperti Inikah Dunia nyanyian duet oleh Ikon Seni dan pelajar Usim.

Diikuti perkongsian Masjid al-Aqsa: Sebuah Muhabasah dari Karyawan Seni Usim, Ahmad Fedtri. Persembahan deklamasi puisi turut disertai Naib Canselor dan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni).

Selain itu, beberapa pelajar antarabangsa Usim daripada Jordan, China dan Indonesia turut bersemangat melaungkan solidariti kepada Palestin dengan persembahan puisi yang penuh dengan penghayatan dibaca dalam bahasa ibunda negara masing-masing.

Sementara itu, Naib Canselor Usim Profesor Datuk Dr Mohamed Ridza Wahiddin memuji pelaksanaan program ini dengan menggunakan pendekatan kreatif dan teknologi semasa untuk disesuaikan dengan norma baharu dan mengekang penularan pandemik Covid-19.

"Saya berharap semangat berjuang ini terus hidup dalam diri setiap warga Usim dan sentiasa berdoa akan kesejahteraan ummah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 Jun 2021 @ 6:30 AM