KHAIRUL (kiri) dan Ain Najwa memperaga trofi masing-masing bersama Dr Musa.
KHAIRUL (kiri) dan Ain Najwa memperaga trofi masing-masing bersama Dr Musa.

Nilai: Khairul Rozikin Abu Kassim, pelajar Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah dan Ain Najwa Mohd Latif, penuntut Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan dinobat Olahragawan dan Olahragawati Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) 2014.

Majlis Anugerah Sukan USIM yang berlangsung baru-baru ini turut membabitkan 18 lagi anugerah lagi termasuk Pencapaian Cemerlang, Bintang Harapan, Pengurus Terbaik, Jurulatih Terbaik, Pasukan Terbaik dan Pasukan Harapan.

Berasal dari Selangor, Khairul menyinar menerusi sukan futsal apabila berjaya menempatkan diri dalam skuad negara ke Sukan Universiti ASEAN ke-17 di Palembang, Indonesia tahun lalu yang menyaksikan Malaysia meraih pingat gangsa.

“Ini pengiktirafan kedua buat saya selepas dicalonkan untuk Anugerah Atlet Terbaik Majlis Sukan Universti-Universiti Malaysia (MASUM),” katanya.

Sementara itu, pemilihan Ain Najwa pula berdasarkan kejayaan meraih perak pada Kejohanan Pencak Silat MASUM tahun lalu.

Staf Jabatan Keselamatan, Shah Ruddin Harun dan Wan Azura Radzuan dari Jabatan Perpustakaan pula dipilih Olahragawan dan Olahragawati bagi kategori kakitangan.

Pada majlis sama, Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Kementerian Pendidikan Malaysia, Profesor Datuk Dr Asma Ismail dipilih penerima Anugerah Tokoh Sukan manakala Molten, Anugerah Rakan Sukan atas sumbangan menjayakan Kempen ‘Satu Bola Sejuta Harapan’.

Hadiah disampaikan Naib Canselor USIM, Profesor Datuk Dr Musa Ahmad.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 April 2015 @ 9:12 AM