KETUA Pegawai Eksekutif ITBM Mohd Khair Ngadiron (kanan) dan Dr Musa (tiga dari kiri) bersama-sama merasmikan buku puisi Islam berjudul ‘Garizahku Buat Maharani’.
KETUA Pegawai Eksekutif ITBM Mohd Khair Ngadiron (kanan) dan Dr Musa (tiga dari kiri) bersama-sama merasmikan buku puisi Islam berjudul ‘Garizahku Buat Maharani’.

Menjadikan bakat seni sebagai punca pendapatan dan kerjaya bukanlah sesuatu yang asing bagi karyawan tanah air.

Melihat ia sebagai cabang keusahawanan berpotensi, Pusat Kebudayaan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) mengambil inisiatif memperkasakan bidang keusahawanan melalui produk seni yang dihasilkan siswa.

Satu majlis pelancaran diadakan dan disempurnakan Naib Canselor USIM, Prof Datuk Dr Musa Ahmad di Dewan Tuanku Canselor, minggu lalu.

DARI MUKA 1

Antara produk seni yang diperkenalkan ialah persembahan seni, produk sewaan dan teknikal, penerbitan seni serta pengajaran dan pembelajaran seni.

Produk berkenaan dijang­ka memenuhi keperluan pasaran dengan sokongan pihak industri.

Bagi mempromosikan produk itu, Pusat Kebudayaan turut bekerjasama de­ngan beberapa penggiat seni tanah air dengan melantik mereka sebagai Karyawan Seni USIM.

Antara artis yang dilantik ialah Syed Indera Syed Omar atau Siso (karyawan Penulisan Kreatif), penyanyi Nash (karyawan Persembahan Seni), komposer Fauzi Marzuki (karyawan Penciptaan Kreatif), penyanyi nasyid Hafiz Hamidun (karyawan Inovasi Produk) dan personaliti televisyen Ahmad Fedtri Yahya (karyawan Pengacaraan dan Penyiaran).

Turut dilantik, johan Tilawah Al-Quran Kebangsaan 2013 Anuar Hasin sebagai karyawan Seni Taranum.

Pengarah Institut Pengurusan dan Penyelidikan Fatwa Sedunia USIM Dr Irwan Mohd Subri pula diumumkan sebagai Penasihat Produk Seni.

Seramai 14 Ikon Seni Pelajar yang kini sebahagian alumni USIM dan turut me­nyumbang kepada industri melalui pembabitan seni turut dihargai.

Dr Musa berkata, kewujudan Produk Seni USIM bertujuan menyemarakkan usaha seni berbudaya.

“Penasihat Produk Seni, karyawan seni dan Ikon Seni Pelajar bakal memfokuskan kepada penyampaian, perkongsian, pengajaran dan pembelajaran keilmuan dan kewujudan serta pelantikan ini diharap dapat mengimarahkan seni berbudaya.

“Bermula tahun 2015, satu model seni berbudaya yang merangkumi tiga teras penting seperti seni yang menghubungkan dengan Pencipta, seni yang menyeimbangkan duniawi dan ukhrawi serta seni yang memberi manfaat kepada khalayak diperkenalkan.

“USIM berharap siswa terbabit dapat memainkan peranan untuk meneraju seni berbudaya pada masa hadapan,” katanya.

Pada majlis sama, buku puisi Islam pertama terbitan bersama Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM) dan Penerbit USIM berjudul Garizahku Buat Maharani dilancarkan.

Buku hasil karya Adiwangsa Sukma itu menghimpunkan 50 puisi yang membawa falsafah ‘karya yang mendekatkan pembaca dengan Pencipta’ mendapat rujukan al-Quran dan hadis sahih yang diterjemahkan dengan puisi kontemporari Islamik.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 April 2016 @ 5:01 AM