Najiy Jefri

Kuala Lumpur: Penyanyi, Shila Amzah berkongsi berita gembira apabila disahkan hamil hasil perkahwinan dengan pempengaruh, Ubaidillah Zulkefli atau Ubai.

Menerusi perkongsian di Instagram Shila dan Ubai, pasangan itu memohon orang ramai mendoakan agar kehamilannya berjalan lancar.

"Saya nak pastikan proses awal kehamilan berjalan lancar terlebih dulu (sebelum pengumuman itu dibuat). Terima kasih kepada yang mendoakan kami sebelum ini. Doakan agar kandungan ini selamat dan dipermudahkan segala-galanya," katanya.

Dalam perkongsian itu, penyanyi lagu Patah Seribu itu bagaimanapun tidak berkongsi usia kandungannya.

Dalam pada itu, Ubai menerusi perkongsian sama turut menyifatkan tahun 2024 membuka satu lembaran baharu buat diri mereka.

"Tahun 2024 ini kami ingin berkongsi satu perkhabaran. Alhamdulillah untuk segalanya," katanya.

Dalam video yang dimuat naik, mereka sempat berkongsi reaksi spontan kenalan rapat dan ahli keluarga sebaik mengetahui perkara itu.

Lebih manis, mereka turut berkongsi video ketika melakukan ujian imbasan kehamilan.

Ia adalah kehamilan kedua Shila selepas melahirkan anak sulungnya, Seth Uwais, 5, hasil perkahwinan pertamanya.

Sementara itu, cubaan Harian Metro menghubungi Ubai bagi mendapatkan maklumat lanjut mengenai kehamilan isterinya itu tidak berjaya apabila panggilan dan mesej yang dihantar tiada balasan.

Shila dan Ubai bernikah pada 5 Ogos lalu di Boathouse Ampang, di sini.

Shila sebelum ini mendirikan rumah tangga dengan Haris Idraki Elias pada April 2018, namun hubungan mereka berakhir dengan perceraian pada Februari 2022.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 January 2024 @ 9:23 PM