Shila Amzah bersama kekasihnya, Ubai.
Shila Amzah bersama kekasihnya, Ubai.
Zaara Talita


Kuala Lumpur: "Duduk bertentangan dan berdepan, siapa yang nak kahwin sekarang ni?"

Demikian perkongsian ringkas penyanyi Shila Amzah yang menimbulkan tanda tanya sama ada dia dan kekasihnya, Ubai MZ bakal mendirikan rumah tangga dalam tempoh terdekat.

Kisah percintaan Shila dan teman lelakinya yang juga pempengaruh media sosial bukan rahsia lagi di kalangan peminat.

Biarpun kedua ibu bapanya berdepan dengan ujian dalam rumah tangga ketika ini, Shila atau nama sebenar, Nurshahila Amir Hamzah tetap memilih untuk terus berkongsi hubungan cintanya dengan Ubai atau Ubaidillah di laman sosialnya.

Shila memuat naik perkongsian pertemuan antara kekasih dan ratu hatinya itu berbuka puasa bersama. Malah, Ubai turut kelihatan resah dan berdebar menerusi video yang dimuat naik.

"Sementara tunggu adik-beradik yang lain tak sampai lagi. Alright tak alright? Okay ke tu?," kata Shila.

Sebelum ini, Shila juga memuat naik videonya bersama Ubai di kedai barang kemas serta meninggalkan kapsyen mengatakan dirinya "I said yes" (setuju) dan mengucapkan terima kasih kepada semua yang mendoakan segala urusannya dipermudahkan.

Menerusi perkongsian video terbabit juga, Ubai sempat berseloroh mengatakan dompetnya kini keluar 'rama-rama' selepas membeli cincin mereka di kedai emas berkenaan.

Bagaimanapun, tidak pasti sama ada video berkenaan memberi bayangan mereka akan melangkah ke fasa seterusnya atau tidak.

Hasil tinjauan di ruangan komen pula, ramai pengikut Shila yang mengucapkan tahniah serta mendoakan supaya mereka terus bahagia.

Terdahulu, Shila Amzah memberitahu Ubai adalah lelaki yang paling rapat dalam hidupnya ketika ini. Shila juga tidak menafikan mereka sedang bercinta dan memohon agar orang ramai mendoakan kebahagiaan ke fasa seterusnya.

Penyanyi lagu Memori Tercipta itu pernah mendirikan rumah tangga dengan Haris Idraki Elias pada 2018.

Namun, mereka bercerai pada penghujung tahun lalu. Hasil perkongsian hidup, Shila dan Haris memiliki seorang cahaya mata lelaki, Seth Uwais, 2 tahun.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 April 2023 @ 4:19 PM