Ubai dan Shila pada majlis pertunangan mereka semalam. Foto dari Instagram Shila Amzah
Ubai dan Shila pada majlis pertunangan mereka semalam. Foto dari Instagram Shila Amzah
Norhayati Nordin


Kuala Lumpur: Penyanyi Shila Amzah, 33, menyifatkan hantaran ucapan terima kasih untuk kenangan lima bulan yang sangat indah dikongsinya di Instagram baru-baru ini kepada pempengaruh media sosial, Ubai MZ, 26, sebagai tanda penghargaan.

Shila menerusi sesi siaran langsungnya di Instagram semalam berkata, dia tidak menduga luahan ucapan dibuat itu disalahertikan dengan dakwaan hubungan percintaan mereka sudah putus.

"Perkongsian saya di Instagram sebelum ini dengan ucapan terima kasih untuk lima bulan yang sangat indah, awak teman terbaik dan terima juga atas kasih sayang kepada Seth adalah ucapan penghargaan kepada Ubai, itu saja.

"Saya sangat-sangat menghargai apa yang sudah dilakukannya itu. Tapi, tak sangka pula ramai yang menyangkakan perkara sebaliknya (putus) pada hantaran berkenaan.

"Maksud ucapan saya untuk Ubai sebenarnya positif saja, namun tak sangka jadi negatif pula. Apapun, alhamdulillah kami sekarang dah selamat bertunang dan terima kasih atas doa-doanya," katanya.

Shila berkata, dia juga bersyukur majlis pertunangan mereka berjalan dengan lancar. Dia berterima kasih dengan rakan-rakan yang banyak membantu termasuk semua ahli keluarga.

Terdahulu, Shila dan Ubai berkongsi foto majlis pertunangan mereka di Instagram masing-masing. Malah, Shila juga berharap agar mereka kuat menghadapi segala apa yang mendatang.

Pasangan ini mula menjalin hubungan rapat sejak tahun lalu. Cuma, mereka mengakui bercinta pada Februari lalu menerusi penjelasan dibuat dalam sesi siaran langsung di TikTok.

Ubai atau nama sebenarnya Muhammad Ubaidillah Mohd Zulkefli mula mendekati dan rapat dengan Shila selepas penyanyi itu melalui fasa sukar dalam kehidupan peribadinya.

Difahamkan, Ubai juga sudah menyukai Shila sejak dia tingkatan satu pada 2011 dan mengikuti wanita idamannya di Twitter.

Namun, hubungan antara peminat dan penyanyi pujaan itu semakin akrab pada 2014.

Shila pula pernah mendirikan rumah tangga dengan Haris Idraki Elias pada 2018 tetapi bercerai tahun lalu. Hasil perkongsian hidup itu, mereka dikurniakan anak lelaki, Seth Uwais, 4.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 Mei 2023 @ 11:03 AM