Shila Amzah
Shila Amzah
Ramlah Zainal

 

 

Kuala Lumpur : Penyanyi terkenal, Shila Amzah memberitahu dia dan suaminya, Ubai atau Muhammad Ubaidillah Mohd Zulkefli, 26, sepakat untuk merahsiakan buat masa ini jantina bayi dari kehamilan keduanya itu.

Shila atau nama sebenar, Nurshahila Amir Amzah, 34, berkata, dia juga masih belum mendapat keizinan dari suaminya, Ubai untuk berkongsi jantina bayi mereka kepada peminat.

"Alhamdulillah, usia kandungan saya sudahpun memasuki trimester ketiga dan kami juga sudah mengetahui jantina bayi selepas buat pemeriksaan kandungan.

"Insya-Allah, kami akan beritahu jantina bayi kepada semua bila tiba saat kelahiran nanti. Doakan yang baik-baik ya," katanya kepada Harian Metro.

Mengulas persiapan untuk bayi pula, kata Shila, setakat ini, semuanya sudah siap sebanyak 70 peratus.

"Buat masa ini, kami tengah siapkan bilik untuk bayi dan beberapa perkara lain yang berkaitan.

"Memandangkan ini adalah anak pertama Ubai, banyak benda yang dia teringin nak buat untuk menyambut kelahiran anaknya itu seperti mengecat bilik bayi.

"Jadi saya serahkan kebanyakan kerja berat untuk persiapan menyambut kelahiran bayi ini seratus peratus pada Ubai dan kita tunggu dan lihat hasil kerjanya nanti,"katanya.

Ditanya tahap kesihatannya pula, kata Shila, dia kini lebih banyak berehat dan berhati-hati untuk menjaga kesihatan dirinya serta kandungan.

"Bila sudah masuk trimester ketiga ini, saya memang tidak ambil tawaran kerja sepanjang Ramadan kerana tidak mahu terlalu penat serta mahu lebih fokus kepada penjagaan kandungan.

"Kali terakhir, saya terbabit dengan persembahan pembukaan sempena Anugerah Juara Lagu ke-38," katanya.

Untuk rekod, Shila mendirikan rumah tangga dengan Ubai pada 4 Ogos tahun lalu. 

Sebelum itu, Shila pernah berkahwin dengan Haris Edraki pada 2018, namun hubungan mereka berakhir dengan perceraian. 

Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan seorang cahaya mata lelaki iaitu Seth Uwais, kini berusia lima tahun.

 

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 Mac 2024 @ 8:05 PM