FILEM komedi romantik arahan Rajkumar Hirani sarat nilai murni.
FILEM komedi romantik arahan Rajkumar Hirani sarat nilai murni.
Ramlah Zainal


BINTANG Bollywood, Datuk Shah Rukh Khan (SRK) memaklumkan bertapa filem Dunki mengharungi cabaran dahsyat sepanjang penggambaran.

Bukan kerana membabitkan cabaran fizikal sebaliknya pergelutan membabitkan mental serta emosi.

Ketika ditanya peminat mengenai perbandingan filem blockbuster, Pathaan dan aksi thriller, Jawan serta Dunki yang menjadi penutup naskhah SRK di layar lebar tahun lalu, beliau memberikan respons positif.

"Dunki adalah filem paling sukar dan memerlukan tuntutan tinggi berbanding Jawan dan Pathaan.

"Berdepan pelbagai emosi dalam Dunki menjadikan penghasilan filem berkenaan menjadi sangat sukar bagi tahun lalu.

"Pelakon terpaksa berdepan pelbagai emosi dan sudah tentu perlu berkerja keras untuk memastikan watak berkenaan benar-benar meninggalkan impak," katanya.

Apabila ditanya mengenai maksud Dunki itu sendiri SRK berkata, dalam bahasa Punjabi mereka menyebutkan donkey (keldai) sebagai dunki.

"Filem ini berkisar perjalanan mereka yang digelar sebagai keldai merentas sempadan tanpa permit sah. Pelbagai kisah lucu dan mencuit hati dipaparkan," katanya.

Filem Dunki adalah kerjasama julung kali SRK bersama pengarah hebat yang pernah mencipta sejarah menerusi filem Munnabhai MBBS, PK dan 3 Idiots iaitu Rajkumar Hirani.

Filem edaran White Merpati Entertainment Sdn Bhd di Malaysia ini menemui penonton di pawagam seluruh dunia sejak 21 Disember tahun lalu.

Malah, sejak ditayangkan filem ini berjaya melepasi sasaran kutipan pecah panggung (box-office).

SRK teraju utama Dunki.
SRK teraju utama Dunki.

Tampil kisah berbeza, filem Dunki menjauhkan SRK daripada aksi dan penampilan macho di layar perak.

Mengupas perbezaan antara kaya dan miskin, celik dan buta huruf serta impian dalam kehidupan.

Ia mengangkat isu pendatang asing dari Punjab, India Utara untuk mencari kehidupan lebih baik.

Di sebalik itu, Rajkumar turut menyelitkan beberapa fakta dan statistik yang berlaku terhadap pendatang asing dalam skrip ditulis bersama Abhijat Joshi dan Kanika Dhillon itu.

Kisah pendatang asing sudah menjadi isu 'tabu' dan memberi impak seluruh dunia, namun Rajkumar bijak mengolah jalan cerita dengan menyuntik elemen kemanusiaan, selain disampaikan berselang-seli dengan aksi humor serta menjentik emosi penonton.

Selain SRK filem ini turut mengetengahkan lakonan hebat Taapsee Pannu, Boman Irani, Vicky Kaushal, Vikram Kochhar, Boman Irani, Anil Grover dan Dharmendra.

Kisah berlatarkan pada 1995 apabila Hardy Singh Dhillon lakonan SRK seorang askar yang baru saja pulih daripada kecederaan tiba di bandar Laltu dekat Punjab untuk mencari lelaki yang pernah menyelamatkan nyawanya.

Hardy bertemu tiga lelaki, Taapsee Pannu (Manu), Anil Grover (Balli) dan Vikram Kochhar (Buggu) yang bercita-cita berhijrah ke London, England untuk mencari kehidupan lebih baik.

Tanpa diketahui, lelaki itu sudah meninggal dunia dan abang kepada Manu. Atas rasa terhutang budi, Hardy berjanji membantu Manu dan rakan-rakannya ke London.

Bagaimanapun, mendapatkan visa tidak semudah disangka, selain kekurangan wang.

Mereka mula mendekati ejen yang menipu, kemudian atas desakan Hardy mereka mula belajar bahasa Inggeris untuk memperoleh visa pelajar ke United Kingdom (UK).

Mereka bertemu Siddu (Vicky Kaushal), seorang lelaki yang terdesak mahu pergi ke London hanya untuk sehari.

Apabila gagal menyelesaikan kelas bahasa Inggeris, mereka mengambil jalan mudah melalui laluan haram.

Bermula ke Pakistan, kemudian Afghanistan, Iran dan seterusnya, UK dengan kapal, namun tersangkut dalam kontena.

Sudah tentu perjalanan mereka penuh pengkhianatan dan kehilangan beberapa rakan pengembara di sepanjang jalan, tetapi mereka tidak berputus asa menjejaki kota impian, London.

Dunki sarat dengan emosi dan mengetengahkan erti persahabatan dan nilai setia kawan.

Selain memperjuangkan erti putus asa, ia dapat dilihat oleh empat sekawan yang tidak mudah mengalah, meskipun berdepan pelbagai halangan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 January 2024 @ 6:30 AM