Syafil Syazwan Jefri


BAGI yang pernah menonton filem Sepanyol berjudul Mirage, anda perlu tonton versi 'remake' dari India berjudul Dobaaraa atau 2:12.

Jalan ceritanya mungkin sama, tetapi tentunya dalam versi Hindi ini, diterapkan beberapa elemen yang lebih dramatik sesuai dengan kehendak penonton.

Namun, ia bukanlah satu filem Hindustan tipikal yang sarat dengan lagu serta warna warni busana.

Dobaaraa mengisahkan mengenai kanak-kanak yang juga saksi pembunuhan bernama Anay Anand yang meninggal dunia selepas dilanggar oleh trak bomba.

Itu apa yang berlaku 25 tahun sebelumnya. Kemudian, penonton dibawa ke 25 tahun kemudian, di mana, kediaman yang dahulunya didiami Anay dan ibunya kini sudah dijual kepada pasangan Antara dan Vikas Awasthi.

Pada awalnya, semuanya berjalan lancar seperti biasa. Namun, suatu hari, Vikas terjumpa satu perakam video lama berserta pita video dan TV lama.

Dia bersama Antara dan anak mereka, Avanti menonton video lama itu, namun, tidak mengenai siapa pemilik dan individu di dalam video itu.

Selepas bertanya kepada jiran yang juga sahabat mereka iaitu Abhishek, mereka mendapat tahu bahawa kanak-kanak di dalam video itu adalah Anay yang sudah meninggal dunia 25 tahun lalu.

Suatu malam, Antara terbangun di tengah malam dan bangun untuk menutup tingkap di bilik lama.

Kemudian, memasang semula video itu dan berlaku perkara aneh apabila Anay yang masih kanak-kanak, dapat berinteraksi dengannya.

Di saat itu, rupanya, adalah hari sama di mana Anay terbabit dalam kemalangan. Antara cuba menyelamatkan nyawa Anay dan meyakinkannya bahawa dia adalah individu dari masa depan.

Keesokan harinya, Antara terbangun dari tidur dan kehidupannya berubah 360 darjah. Dia sudah mengubah masa hadapan, namun, kehilangan anak serta suaminya.

DOBAARAA padat aksi mendebarkan.
DOBAARAA padat aksi mendebarkan.

Bermula dari situ, dia perlu mencari sosok Anay, menyelesaikan tugasnya dan cuma mencari jalan untuk kembali ke alam nyata.

Jalan ceritanya sangat menarik, namun, banyak babak yang memeningkan kerana penonton perlu faham dengan jelas, latar waktu untuk setiap babak yang menurut saya, sentiasa 'meloncat'.

Dari segi emosi, saya rasa, pengarahnya, Anurag Kashyap berjaya menggarap emosi teraju utamanya, Taapsee Pannu dengan baik, sekali gus membuatkan penonton untuk tumpang gelisah.

Mana tidaknya, dia perlu meyakinkan setiap orang dalam 'kehidupan baharu' bahawa, dia dari kehidupan yang berbeza. Umpama satu dunia yang lain.

Saya juga kagum, bagaimana pengarahnya dapat menemukan semula dua titik dari dunia berbeza, dan mencantumkannya dalam satu jalur yang sama.

Tidak hairanlah kenapa filem ini ditayangkan di Festival Filem India London 2022 pada Jun lalu.

FILEM: Dobaaraa

PENGARAH: Anurag Kashyap

PENULIS SKRIP: Nihit Bhave

PELAKON: Taapsee Pannu, Pavail Gulati

TERBITAN: Cult Movies, Athena, Vermillion World

ULASAN: Syafil Syazwan Jefri

(Ulasan filem ini adalah pandangan peribadi penulis berdasarkan pemerhatian dan pengalamannya menonton filem berkenaan)

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 Oktober 2022 @ 6:30 AM