FASHA a
FASHA a
Norhayati Nordin


FASHA Sandha, 39, adalah figura seni berkaliber yang cukup disegani kerana komitmen kerja yang tinggi serta sentiasa memastikan disiplin dirinya pada keutamaan masa dijaga dengan baik.

Isteri yang juga ibu kepada tiga cahaya mata ini menyifatkan dua aspek itu sebagai rahsia kejayaan dirinya terus bertahan dalam karier seni, termasuk membuat peminat setia memberikan sokongan padu.

Pemilik nama sebenar, Nur Fasha Sandha Hassan ini juga secara tidak langsung amat berbesar hati apabila melihat kelab peminatnya masih bersama di belakang menyokong selama 16 tahun yang disulami pelbagai memori indah.

"Saya memang tak sangka sudah sejauh ini dan sangat lama kelab peminat saya masih bertahan. Alhamdulillah, ia antara pencapaian terbaik saya sepanjang aktif dalam kerjaya seni sehingga sekarang dengan masih menerima tawaran lakonan.

"Jadi, saya ucapkan terima kasih tidak terhingga kepada semua ahli kelab peminat saya yang baik-baik, sering menyokong dan selalu memberi kata-kata semangat. Tak sangka sudah 16 tahun kami bersama-sama," katanya.

Baru-baru ini, Fasha ditemui media pada majlis penghargaan, doa selamat dan kenduri kesyukuran yang diadakannya bersama suami, Aidil Aziz dan adik juga pelakon, Elisya Sandha di Bizmilla Ariz Hall Shafsbury, Putrajaya.

PASANGAN sejoli, Fasha dan suaminya, Aidil Aziz. FOTO Ezairi Samsudin
PASANGAN sejoli, Fasha dan suaminya, Aidil Aziz. FOTO Ezairi Samsudin

Lebih 300 tetamu hadir membabitkan keluarga, sanak saudara, kenalan rapat, rakan industri termasuk ahli kelab peminatnya dalam majlis istimewa bagi menjamu serta meraikan pelbagai kejayaan sudah diraih Fasha sepanjang 2023.

Ditanya juga impiannya yang masih belum dicapai dalam kerjaya, Fasha tanpa berselindung memberitahu, dia sudah lama mempunyai keinginan untuk beraksi membintangi filem aksi.

"Saya sebenarnya menginginkan sesuatu watak yang tidak pernah lagi dibawakan dalam lakonan. Malah, sama ada watak baik atau jahat, saya tidak kisah pun dan boleh saja terima asalkan ia sesuai.

"Cuma, jauh di sudut hati saya berhasrat untuk tawaran berlakon akan datang kalau ada rezeki naklah membintangi filem aksi. Itulah yang saya idam-idamkan, sebagaimana watak macam Lara Croft (Tomb Raider), insya-Allah," katanya.

Menurut pelakon yang pernah melonjak dengan drama Natasha ini, dia berharap peluang itu akan datang juga suatu hari nanti apabila sampai masanya kerana sudah betul-betul bersedia walaupun sedar watak aksi cukup mencabar.

Ditanya juga saranannya kepada bakat baharu yang ingin menyertai bidang lakonan, Fasha berkata, kalau betul-betul nak jadi pelakon, pertama sekali kena pastikan dapat beri komitmen dan seorang yang berdisiplin.

KELUARGA bahagia, Fasha serta Aidil bersama anak-anak. FOTO Ezairi Samsudin
KELUARGA bahagia, Fasha serta Aidil bersama anak-anak. FOTO Ezairi Samsudin

"Sebabnya kalau tak ada bakat, bagi saya ia tiada masalah pun kerana masih boleh diasah hari-hari di set penggambaran. Namun, disiplin dan komitmen penting serta yang akan bawa kita pergi jauh-jauh (dalam industri).

"Jadi, atas sebab itulah (komitmen dan disiplin) agaknya saya masih lagi dipanggil untuk menerima pelbagai tawaran berlakon sampai sekarang," katanya.

Pada majlis penuh meriah yang semuanya difahamkan perancangan serta diurus sendiri oleh Fasha itu disertai kehadiran anak-anaknya iaitu Putra Rayfal Ramli, 10, Putri Raysha Jemaima, 8, dan Aisha Amaira, 3.

Pelakon baru 'okay saja'

Mengakui kemunculan pendatang baru seni lakon yang semakin ramai, Fasha berkata, setakat ini dia okay saja dalam bekerjasama asalkan komitmen kerja mereka dan disiplin diri selalu dijaga.

"Kerjasama antara pelakon baharu di lokasi, saya lihat mereka semua okay dan baik. Semua boleh tepati masa, Alhamdulillah. Termasuk, kebanyakannya amat menjaga disiplin diri.

"Justeru, bagi saya ia satu perkembangan industri yang sangat bagus, dah tak ada lagi pelakon baharu datang lambat ke lokasi dan mudahlah untuk bekerjasama," katanya.

Ditanya juga mengenai luahan segelintir pelakon senior yang difahamkan ada antaranya kurang selesa terhadap sikap bakat baharu yang datang ke lokasi lebih sibuk nak buat kerja lain seperti reviu produk dan hasilkan 'content' media sosial, Fasha berkata, dia bersyukur situasi itu tidak berlaku kepada dirinya.

"Tak tahulah sebab ia tidak pernah terjadi kepada saya. Alhamdulillah, setakat ini semua pelakon baharu yang pernah bekerja dengan saya, semuanya okay, baik-baik dan berdisiplin," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 Disember 2023 @ 7:01 AM