FASHA rai Ramadan bersama keluarga.
FASHA rai Ramadan bersama keluarga.
Syafil Syazwan Jefri


RAMADAN adalah bulan yang dinanti-nantikan setiap umat Islam.

Bagi Fasha Sandha, kehadiran Ramadan tahun ini menandakan dia memperlahankan aktiviti lakonan.

Tujuannya adalah untuk meluangkan masa berkualiti bersama keluarga dan anak-anak di samping memberi tumpuan untuk merawat matanya selepas terbabit kemalangan di lokasi penggambaran, baru-baru ini.

Berkesempatan bersua dan berbicara dengan pelakon serba boleh ini, Fasha berkongsi kisah Ramadan di samping perkembangan terbaharunya sebagai pelakon dan duta jenama Alfaro.

"Tahun ini yang paling teruja bila menjelangnya Ramadan adalah anak-anak. Apa yang paling saya nantikan adalah untuk memasak buat keluarga dan berbuka bersama. Selain itu, saya juga akan sertai beberapa aktiviti bersama anak-anak yatim.

"Apa yang boleh saya katakan, Ramadan adalah bulan di mana saya akan memperlahankan urusan kerja. Jadi, ada banyak masa berkualiti bersama keluarga. Bagaimanapun, saya kena teruskan dengan sesi rawatan untuk mata saya bagi memastikan ia pulih sepenuhnya," katanya.

Berkongsi keadaan matanya yang cedera ketika menjalani penggambaran Anak Tuan baru-baru ini, Fasha berkongsi mengenai bagaimana dia seboleh-bolehnya enggan menyekat rezeki kru penggambaran yang lain semata-mata kerana kecederaan dialaminya.

"Saya belum sihat sepenuhnya lagi buat masa sekarang. Suami dan doktor pun tak galakkan saya kembali bekerja ketika itu. Kalau saya tak kembali jalani penggambaran pada ketika itu, rezeki kru penggambaran yang lain akan tertangguh.

"Tak mengapa kalau saya bertahan sedikit, yang penting tak sekat rezeki kru yang lain sebab kalau penggambaran tertangguh, bayaran untuk mereka juga akan tertangguh.

"Sekarang mata saya masih ada rasa sakit. Kalau memandang ke depan, tak ada masalah. Tapi, untuk memandang ke kiri dan kanan, saya perlu pusingkan kepada sebab kemalangan tempoh hari memberi kesan dan kecederaan kepada bebola mata saya. Namun, saya bersyukur sebab Allah berikan dugaan kecil kepada saya," katanya.

Menurut isteri pelakon, Aidil Aziz ini juga, dia semakin peka dan berhati-hati dengan persekitaran di set penggambaran selepas kemalangan itu berlaku.

"Apa yang berlaku membuatkan saya lebih berhati-hati. Alhamdulillah selepas kemalangan itu, ia memberi kesedaran kepada saya untuk lebih peka dengan situasi persekitaran lokasi penggambaran.

"Selama ini mungkin saya tak kisah sangat sebab ada orang yang akan pastikan keadaan di set penggambaran selamat. Tapi, di masa akan datang, saya akan teliti berkali-kali.

"Saya tak salahkan sesiapa. Seperti yang saya jelaskan, saya anggap itu dugaan kecil," katanya.

Berkongsi mengenai tanggungjawab baharunya sebagai duta jenama Alfaro, Fasha turut menyentuh mengenai bagaimana dia meletakkan kriteria sebelum menerima sesuatu tawaran.

"Sebelum saya menerima tawaran untuk menjadi duta atau wakil selebriti untuk sesuatu jenama mahupun produk, saya kena guna produk itu terlebih dahulu. Kemudian, baru saya dapat meyakinkan orang lain.

"Bagi saya di situ wujudnya keberkatan kita dalam mencari rezeki untuk mewakili sesuatu jenama atau produk.

"Kalau setakat ambil duit bayaran, tapi tak guna pun produk yang dipromosikan dan tak 'sayang' produk itu, saya rasa itu tak sepatutnya," katanya.

Menurutnya, dia juga pernah menolak daripada mengulas beberapa produk yang dirasakan tidak sesuai.

"Ada juga beberapa produk yang saya minta untuk dihantar dahulu kepada saya. Kalau saya rasa tak berkenan, saya akan berterus terang dan maklumkan kepada peniaga atau pemilik produk itu, saya tak boleh nak buat.

"Kalau nak ikutkan, lebih 10 kali juga saya buat keputusan begitu. Saya tak mahu menipu pengikut saya di media sosial.

"Contohnya, ada yang hantar makanan untuk diulas. Kalau sedap, baru saya buat sebab saya tak mahu menipu," katanya.

Terbaharu, Fasha memulakan penggambaran drama bersiri Rampas Cintaku 2 tidak lama lagi serta beberapa penggambaran lain selepas Aidilfitri.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 31 Mac 2023 @ 6:00 AM