ARTHUR memperbaiki hubungi dengan Orm.
ARTHUR memperbaiki hubungi dengan Orm.
Syafil Syazwan Jefri

Selepas lima tahun, Aquaman kembali ke layar perak menerusi filem sekuel, Aquaman and the Lost Kingdom. Kali ini, perjalanan watak utama, Arthur Curry lakonan Jason Momoa nampaknya berkembang dengan cara berbeza.

Berkeluarga dan pada masa sama, perlu menggalas tanggungjawab sebagai Raja Atlantis, Arthur yang juga Aquaman perlu menggunakan keupayaannya untuk menyelamatkan bumi daripada tangan jahat Black Manta.

Namun, dia perlukan bantuan adiknya, Orm Marius yang kini masih lagi dipenjara di lohong bawah padang pasir. Dari situ, bermulalah konflik kecil yang akhirnya, melembutkan hati kedua-dua mereka untuk bekerjasama.

Dari segi rentak jalan ceritanya, boleh saya gambarkan ia sebagai filem yang bergerak lancar, tak membuatkan penonton ternanti-nanti akan babak selanjutnya.

Dalam kata lain, durasi 124 minit untuk filem yang menelan kos AS$205 juta (RM953.45 juta) itu tidak terlalu meleret atau membosankan.

Satu elemen yang menarik perhatian saya dalam filem sekuel ini adalah, elemen persaudaraan (brotherhood) dan kebapaan (fatherhood), yang benar-benar ditekankan.

Kita dapat melihat bagaimana hubungan antara Arthur dan ayahnya, Arthur dengan anaknya dan bagaimana Arthur membaiki hubungannya dengan Orm yang sebelum ini memusuhinya.

AQUAMAN padat dengan aksi.
AQUAMAN padat dengan aksi.

Permainan emosi turut diselitkan pengarahnya, James Wan dalam beberapa babak antaranya, ketika ibu Arthur dan Orm, Atlanna lakonan Nicole Kidman menitipkan rasa rindu kepada Orm.

Selain itu, satu lagi babak yang meruntun jiwa adalah, ketika bapa Arthur diserang Black Manta sehingga cedera parah. Kita dapat lihat bagaimana marahnya Arthur atas apa yang dilakukan Black Manta terhadap bapanya.

Satu lagi perkara yang saya nantikan, adalah keberadaan watak Mera lakonan Amber Heard selepas pelbagai kontroversi yang terpalit pada pelakon wanita itu.

Namun, semuanya terjawab dalam filem kali ini di mana, watak itu masih wujud walaupun ia bukanlah sesuatu yang terlalu ditonjolkan. Kehadiran Mera umpama penyeri dalam beberapa babak sahaja.

Satu perkara yang mungkin kurang memuaskan hati saya adalah, perkembangan watak Arthur sebagai raja (bukan sekadar melakukan tindakan memberontak seperti kebiasaan), kurangnya penekanan kepada kuasa yang dimiliki anaknya dan pengakhiran Black Manta dalam filem ini.

FILEM: Aquaman and the Lost Kingdom

PENGARAH: James Wan

PENULIS SKRIP: David Leslie Johnson-McGoldrick

PELAKON: Jason Momoa, Patrick Wilson, Amber Heard, Yahya Abdul-Mateen II, Nicole Kidman

TERBITAN: DC Studios, Atomic Monster, The Safran Company

ULASAN: Syafil Syazwan Jefri

(Ulasan filem ini adalah pandangan peribadi penulis berdasarkan pemerhatian dan pengalamannya menonton filem berkenaan)

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 Disember 2023 @ 6:17 AM