Jason Momoa dan Lisa Bonet berpisah selepas bersama selama 16 tahun.
Jason Momoa dan Lisa Bonet berpisah selepas bersama selama 16 tahun.
Syafil Syazwan Jefri


Bintang filem Aquaman, Jason Momoa mengesahkan dia dan isterinya, Lisa Bonet sudah bercerai.

Momoa yang berkahwin dengan Bonet pada 2017 dalam satu hantaran di Instagram berkata, seperti juga orang lain, mereka tidak terlepas berdepan dengan perubahan.

"Kita semua berdepan dengan pelbagai perubahan dalam tempoh masa penuh dugaan ini. Banyak perubahan berlaku dan keluarga kami juga tidak terlepas daripada berdepan pelbagai perubahan itu.

"Jadi, kami ingin kongsikan satu berita bahawa perkahwinan kami kini sampai di penghujungnya," tulisnya.

Menurut Momoa, mereka akan meneruskan kehidupan seperti biasa walaupun dia dan Bonet bukan lagi pasangan suami isteri.

"Kami kongsikan perkara ini kerana kami rasa ia ada nilai berita. Bagaimanapun, kami akan teruskan kehidupan kami dengan bermaruah serta jujur.

"Rasa cinta antara kami sekeluarga masih berterusan, cuma ia berkembang dengan cara lain dan akan terus hidup. Kami bebaskan satu sama lain untuk menjadi diri sendiri," tulisnya.

Momoa dan Bonet berkahwin pada 2017 dan sudah bersama selama 16 tahun sebelum mengambil keputusan untuk bercerai.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 January 2022 @ 4:37 PM