JAMAL Abdillah membuat persembahan pada Konsert Jamal Abdillah Live in Concert yang diadakan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, malam tadi. FOTO Sadiq Sani
JAMAL Abdillah membuat persembahan pada Konsert Jamal Abdillah Live in Concert yang diadakan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, malam tadi. FOTO Sadiq Sani
Ramlah Zainal


Kuala Lumpur: Kehadiran peminat yang dipanggil opah (nenek), Rohani Abdullah, 69, antara yang mencuri tumpuan penonton pada konsert Datuk Jamal Abdillah yang berlangsung di Plenary Hall, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini, malam tadi.

Peminat yang berasal dari Terengganu itu antara 1,800 penonton yang hadir pada Konsert Jamal Abdillah Live In Concert anjuran Shiraz Projects berkenaan.

Jamal berkata, dia bertemu dengan Rohani ketika balik dari acara dan berhenti di Hentian Rehat dan Rawat Temerloh, Lebuhraya Pantai Timur, baru-baru ini.

"Dia beritahu dia peminat setia saya dan tidak pernah menonton konsert saya seumur hidupnya. Jadi, saya terus memberinya tiket VIP untuk menonton konsert saya bersama cucunya, Haikal malam ini. Terima kasih 'opah' kerana sudi datang konsert saya malam ini," katanya sambil memperkenalkan peminatnya itu sekali gus mendapat sorakan penonton.

Menurut Jamal, dia juga gembira kerana konsert skala besarnya itu ditonton peminatnya dari pelbagai usia termasuk dari Sabah, Sarawak dan Singapura.

Pada usia 64 tahun, penghibur legenda ini tetap bertenaga serta berjaya memukau penonton dengan rangkaian 21 lagu popular termasuk secara medley dalam konsert berdurasi kira-kira tiga jam itu.

Antaranya Azura, Di Sudut Kamar Hatiku, Kehebatan Cinta, Kau Lupa Janji, Penghujung Rindu, Kekasih Awal dan Akhir dan Seniman Menangis.

Konsert yang diiringi 15 pemuzik dan tiga penyanyi latar itu turut menampilkan Wany Hasrita yang turut menyampaikan dua lagu. Wany turut berduet dengan Jamal menerusi lagu Kehebatan Cinta.

Selain itu, ia turut menampilkan gandingan Jamal bersama dua anaknya iaitu Yamani Abdillah, 24, dan Zaki Yamani, 17, menerusi lagu Aku Penghibur.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 November 2023 @ 1:09 PM