ZAMANI (kiri), Jamal dan Ameng. FOTO Rosela Ismail
ZAMANI (kiri), Jamal dan Ameng. FOTO Rosela Ismail
Ridzuan Abdul Rahman

Siapa dapat menafikan kehebatan gandingan tiga penyanyi lelaki menerusi jenama Konsert Tiga Suara yang diadakan di Istana Budaya pada September 2016.

Pujian diterima daripada pelbagai pihak terhadap gandingan itu. Bahkan ada yang ingin melihat ia kembali diadakan kerana tidak puas menyaksikannya.

Keinginan mereka akhirnya tercapai apabila Datuk Jamal Abdillah, Ameng dan Zamani kembali berkongsi pentas dalam Konsert Tiga Suara di Stadium Indera Mulia, Ipoh, Perak pada 6 April depan.

Datuk Jamal selaku penganjur dari Bintang Channel Sdn Bhd mengakui tidak banyak melakukan perubahan untuk persembahan itu.

“Peminat yang menonton sudah tahu apa yang ditampilkan dalam persembahan terdahulu.

“Kami akan mengekalkan konsep sama seperti dilakukan dalam Konsert 3 Suara di Panggung Sari, Istana Budaya, lebih dua tahun lalu.

“Bagaimanapun perubahan akan tetap dilakukan yang mana lagu-lagu kurang diketahui peminat akan digantikan dengan karya hit kami,” katanya.

Menurutnya, beberapa penambahbaikan turut dilakukan terutama dari segi bunyi agar peminat puas hati.

“Saya perasan bunyi dalam konsert di IB ibarat konsert rock dan bukan konsert pop menjadikan ia bingit.

“Situasi di Stadium Indera Mulia berlainan dan saya berharap bahagian teknikal membantu saya untuk mendapatkan yang terbaik.

“Untuk konsert ini, saya mendapatkan sentuhan pengarah muzik yang tidak asing lagi iaitu Raja Mohd Sham,” katanya.

Jamal berkata, peminat dapat menyaksikan paduan suara mereka bertiga menerusi lagu Isabella 98, Terharu dan Gadis Melayu.

“Selain itu mereka juga akan dihiburkan oleh anak saya, Osama Yamani dan sepupunya yang menggelarkan diri mereka sebagai Radiowave selaku penyanyi undangan,” katanya.

Menurut Jamal, idea untuk persembahan di Perak sebenarnya tercetus selepas menilai semua pihak yang terbabit dalam persembahan pertama.

“Kru bahagian tiket, teknikal, pemuzik dan lain-lain semua berfungsi menjadikan ia nampak mudah.

“Kerjasama erat dengan mereka buat saya bersemangat untuk buat konsert ini.

“Tak ketinggalan, kerajaan negeri Perak turut beri ruang dan sokongan yang penuh bersama Pertubuhan Kebajikan Amal Silaturrahim Isteri-Isteri Harapan Negeri Perak (KASIH) dalam menjayakan konsert ini, “ katanya.

Jamal percaya, dengan kekuatan jenama Tiga Suara, konsert itu pasti mendapat sambutan menggalakkan.

Apatah lagi, sebahagian kutipan jualan tiket akan disalurkan kepada KASIH.

Memandangkan konsert itu berlangsung di stadium, Jamal akan mengadakannya dalam bentuk karnival di mana pelbagai aktiviti lain turut disusun dari pagi sehingga konsert pada sebelah malam.

“Pelbagai aktiviti diadakan termasuk gerai jualan, food truck, car boot sale dan banyak lagi,” katanya.

Turut diadakan zumba, buskers, futsal jalanan, sukan rakyat, pertandingan karaoke lagu Jamal Abdillah, Ameng dan Zamani, pertunjukan kereta Ferrari dan Lamborghini, pameran Vespa klasik dan Harley Davidson.

Peminat boleh mendapatkan tiket berharga RM83 hingga RM183 di ilassotickets.com.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 Februari 2019 @ 6:06 AM