JAMAL bakal beraksi bersama dua anaknya di Konsert Gemilang Datuk Jamal Abdillah, 9 Disember  depan. FOTO Rohanis Shukri
JAMAL bakal beraksi bersama dua anaknya di Konsert Gemilang Datuk Jamal Abdillah, 9 Disember depan. FOTO Rohanis Shukri
Syafil Syazwan Jefri


POPULARITI dan karisma penyanyi legenda, Datuk Jamal Abdillah tentunya tidak dapat disangkal lagi. Keberadaannya dalam sesuatu acara atau kemunculannya di pentas persembahan sentiasa dinanti-nantikan peminat.

Legasinya tidak pernah berhenti, bahkan bakat dan perjuangan seninya diteruskan dua puteranya, Osama Yamani dan Zaki Yamani yang mana masing-masing turut berbakat besar dalam nyanyian.

"Saya tak pernah galakkan anak-anak saya menjadi penyanyi. Tapi, siapa sangka perjalanan mereka juga ke arah bidang seni ini.

"Mereka ada kelebihan masing-masing dan sangat berbeza. Osama dan Zaki masing-masing ada kumpulan peminat mereka sendiri di samping genre pilihan yang berbeza," katanya.

Menyentuh mengenai populariti dan lonjakan nama sebagai anak seni, Jamal, 63, menegaskan kepada anak-anaknya supaya sentiasa melahirkan karya berkualiti sebagai keutamaan.

"Populariti, rezeki dan nama, semuanya akan datang kemudian. Lebih penting sebagai penyanyi, kita perlu hasilkan karya yang dapat dirasakan orang yang mendengar.

"Jangan biar kita popular, tetapi karya tidak sampai ke mana-mana," katanya.

Berkongsi mengenai perkembangan muziknya yang terus membuatkan namanya kekal relevan, Jamal tidak menafikan bahawa dia sentiasa terbuka dengan perubahan mengikut arus peredaran masa.

"Zaman saya dahulu, cuma ada dua stesen radio di Malaysia. Apa yang boleh saya katakan, muzik analog suatu ketika dahulu lebih terasa di hati.

"Namun, saya juga perlu mengikut arus perubahan zaman. FMC selaku label pun dah bawa saya ke hadapan dengan karya yang disuntik dengan susunan serta elemen baharu.

"Dari situ, saya dapat berkolaborasi dengan bakat generasi baharu seperti Wany Hasrita. Namun, apabila semakin ramai penyanyi yang menyanyikan semula atau 'cover' lagu lama, saya juga tidak mahu terkecuali.

"Jadi, saya dan Wany baru sahaja merakamkan lagu 'cover' berjudul Bakawali yang sebelum ini pernah dipopularkan oleh Syura dan Siti Nordiana.

"Antara rancangan dan hasrat saya adalah untuk kumpulkan 10 lagu nyanyian duet saya bersama Wany dan keluarkan satu album kompilasi," katanya.

Berkongsi mengenai acara Konsert Gemilang Datuk Jamal Abdillah yang berlangsung pada 9 Disember depan, Jamal turut berkongsi keterujaannya untuk membuat persembahan bersama Osama dan Zaki.

"Di acara konsert itu nanti, mereka akan bawakan lagu mereka sendiri juga, tetapi turut dipastikan ada keserasian antara kami bertiga memandangkan akan ada segmen nyanyian secara trio.

"Kami juga ada rakamkan lagu trio berjudul Tangan Yang Melambai ciptaan Ezra Kong. Sebenarnya lagu ini mengisahkan mengenai ayah yang selalu berjauhan dengan anak-anaknya," katanya.

Menurutnya, lagu Tangan Yang Melambai mengisahkan mengenai hubungan ayah dengan anak-anaknya.

"Dalam cerita ini, si ayah bekerja sebagai nelayan dan sering berjauhan dengan anak-anaknya. Jadi, lambaian itu umpama simbolik lambaian bapa kepada anak-anaknya.

"Rentaknya juga lebih kepada rentak lagu lama yang sering kita dengar dalam karya 50-an hingga 60-an. Cumanya, penyampaiannya yang berbeza," katanya.

JAMAL bersama anak, Osama dan Zaki. FOTO Rohanis Shukri
JAMAL bersama anak, Osama dan Zaki. FOTO Rohanis Shukri

Ditanya mengenai tip dan nasihat buat anak-anaknya untuk memberikan persembahan bertenaga, Jamal memberikan beberapa petua.

"Tip untuk anak-anak saya adalah, badan mereka perlu sihat untuk memberikan persembahan terbaik buat penonton. Kena jaga pemakanan dan waktu tidur juga.

"Selain itu, dari sudut pakaian juga penting untuk memastikan penampilan kita nampak segak tatkala berada di pentas," katanya.

Tidak hanya Osama dan Zaki, Jamal juga sentiasa bersiap sedia untuk berkolaborasi dengan artis dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) selaku penganjur.

"Selain itu, dalam konsert berdurasi sekitar dua jam itu, saya juga akan mempersembahkan kira-kira 15 lagu saya dari zaman awal kemunculan saya sehingga yang terbaharu.

"Mungkin saya juga akan persembahkan lagu duet bersama artis dari UTM sendiri, contohnya lagu Belenggu Rindu, Kehebatan Cinta atau mungkin Sandarkan Pada Kenangan," katanya.

Osama, Zaki ada kelebihan tersendiri

Sementara itu, Osama, 21, berkata, dia tidak menafikan ada pihak membandingkan antara dia dengan adiknya, Zaki.

"Saya tak nafikan ada yang membanding-bandingkan saya dengan Zaki. Tapi, saya sendiri tak pernah ambil kisah pun sebab saya tahu, kami masing-masing ada kekuatan tersendiri.

"Saya ada baca juga beberapa komen. Kalau komen yang tidak sepatutnya, semestinya saya akan sebelahkan adik saya. Tapi, kalau ada benda yang perlu ditegur, saya akan tegur," katanya.

Ditanya mengenai persediaannya menuju hari konsert, Osama menitikberatkan beberapa faktor antaranya pemakanan dan senaman.

"Antara persediaan yang saya lakukan adalah, jaga pemakanan dan bersenam. Selain itu, kalau dapat senarai lagu lebih awal, itu juga akan membantu," katanya.

Bagi Zaki, 16, dia perlu bekerja lebih keras untuk memastikan persembahannya setara dengan ayah dan abangnya.

"Ini adalah kali kedua kami bertiga akan berkongsi pentas. Dari segi persediaan, saya kena bekerja lebih keras kerana ayah dan abang saya masing-masing sangat 'power' dari segi nyanyian," katanya.

Zaki turut berkongsi mengenai lagu Tangan Yang Melambai yang terpaksa dirakamkan semula olehnya.

"Untuk lagu trio, Tangan Yang Melambai itu pun, saya perlu lakukan persediaan secukupnya memandangkan ia adalah lagu yang nadanya agak tinggi.

"Mungkin ada yang tak tahu, saya terpaksa merakam semula bahagian saya dalam lagu itu kerana ketika rakaman pertama pada tahun lalu, suara saya belum pecah.

"Jadi, bila suara saya dah pecah, saya rakam semula dan rasanya, lebih baik daripada kali pertama," katanya.

Konsert Gemilang Datuk Jamal Abdillah bakal berlangsung di Grand Banquet Hall, Residensi UTMKL, Kuala Lumpur dan bakal diiringi tujuh pemuzik.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 Oktober 2022 @ 7:00 AM