Norhayati Nordin


Kuala Lumpur : Penyanyi, Shila Amzah, 33, tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap teman wanita adiknya, Syafiq yang dikenali Eiza sekiranya wanita itu masih lagi tinggal di banglo miliknya di Hulu Langat, Selangor.

Shila atau nama sebenarnya, Nurshahila Amir Amzah menerusi hantaran di Instagram Story memaklumkan, dia memberi tempoh sehingga esok kepada Eiza untuk keluar dari rumah itu.

"Assalammualaikum, teruntuk orang luar yang sebenar. Eiza yang dah lama duduk di rumah saya di Langat (Hulu Langat) tu, sila keluar selewatnya esok sebelum saya ambil tindakan undang-undang.

"Sila keluar dengan kadar segera," tulisnya turut mengingatkan wanita itu agar tidak bersikap terus mencampuri urusan keluarganya dengan pendedahan di media sosial.

Menurut penyanyi lagu Patah Seribu itu, dia juga sebelum ini pernah menyuarakan kepada ibunya, Fauziah Sarman, 55, mengenai ketidakselesaan apabila wanita terbabit yang hanya berstatus kekasih Syafiq bertindak tinggal di rumah itu.

"Sha dah pernah beritahu melalui emak (Fauziah) untuk bercakap dengannya (Eiza) agar keluar dari rumah itu sejak setahun lalu apabila dia sendiri berpindah masuk ke dalam rumah saya tanpa kebenaran saya.

"Lagi satu, sekali lagi jika ada perkataan mengenai saya dan keluarga yang awak tulis di media sosial, saya akan hantar surat tuntutan bagi tindakan undang-undang," tulisnya.

Amaran tegas daripada Shila itu berikutan tercetus kemelut antaranya bersama ibu serta dua adik, Syafiq dan Syada baru-baru ini yang berpunca daripada hasrat mahu menjual banglo terbabit yang didakwa sudah dianggap sebagai aset pusaka keluarga.

Syafiq dan Syada yang tidak berpuas hati dengan keputusan Shila bertindak membuat luahan mereka di media sosial dengan mendakwa tiada perbincangan dilakukan, termasuk meminta agar hak milik rumah itu ditukarkan kepada nama ibu mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 Oktober 2023 @ 7:49 PM