SYADA AMZAH
SYADA AMZAH
Zaara Talita


Kuala Lumpur: Adik bongsu Shila Amzah, Syada mendedahkan keluarganya kini dalam fasa berpindah ke tempat tinggal baharu yang memerlukan mereka menyerahkan haiwan kesayangan kepada pencinta kucing.

Perkongsian Syada, 25, atau nama sebenarnya, Nursyuhada Amir Amzah itu seakan mengesahkan mereka sekeluarga bakal keluar dari banglo milik kakak sulungnya dalam tempoh terdekat.

"Adopsi kucing dibuka sehingga hujung November depan kerana kami masih sibuk berpindah sejak beberapa minggu lalu.

"Sesiapa mencari kucing untuk diadopsi dan jadi peneman kucing awak, yang tak kisah warna atau umur boleh mesej saya.

"Insya-Allah hujung November atau awal Disember selepas siap renovasi," katanya.

Bagaimana pun, bekas peserta Big Stage musim dua itu menafikan jumlah kucing di kediaman di Hulu Langat 50 ekor seperti dihebohkan kakak sulungnya.

"Penafian: Saya tiada 50 kucing," tulisnya di ruangan bahagian bawah gambar dalam perkongsian sama.

Sebelum itu, Syada dalam beberapa hantaran lain memaklumkan urusan penyerahan kucing hanya dapat dilakukan selepas proses pengubahsuaian disempurnakan.

Terdahulu, Shila, 33, yang juga anak sulung daripada empat beradik itu meluahkan rasa terkejut apabila mengetahui rumah banglo didiami ibunya, Fauziah Sarman bersama adik-beradiknya yang lain membela 50 ekor kucing.

Malah, Shila yang sebelum ini mahu membeli kediaman lain buat keluarganya mendakwa haiwan peliharaan itu semakin bertambah apabila individu yang bukan ahli keluarga membawa pulang 10 ekor lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 Oktober 2023 @ 4:26 PM