Anak ND Lala, Syada Amzah.
Anak ND Lala, Syada Amzah.
Najiy Jefri


Kuala Lumpur : Adik kepada Shila Amzah iaitu Syada Amzah menafikan dakwaan bapanya yang juga penyanyi dan pelakon era 80-an, ND Lala bernikah lagi satu secara rahsia.

Syada berkata, sehingga hari ini bapanya masih tinggal sebumbung dengan ibunya, Fauziah Sarman dan hampir setiap hari keluar bersama.

"Saya baru tahu mengenai gosip ini. Kami di rumah baik-baik saja. Mak saya setiap hari keluar 'dating' dengan ayah saya.

"Saya tak rasa bapa saya berkahwin lagi satu sebab mereka masih tinggal sebumbung dan kalau keluar pun mesti satu kereta.

"Saya minta simpang benda ini berlaku sebab takut bila ramai sangat yang buat andaian boleh jadi satu doa," katanya kepada Harian Metro.

Menurut Syada, di sebalik gosip yang timbul dia dan seluruh ahli keluarganya tidak terkesan kerana sudah masak dengan sepak terajang dunia seni.

"Cerita gosip ini dari kecil lagi memang selalu terpalit. Macam-macam cerita keluar dan kami sendiri ada yang baru tahu.

"Secara peribadi, saya tak rasa keluarga saya terkesan dengan apa saja gosip melainkan benda itu benar-benar terjadi.

"Cuma saya harap kalau ada gosip membabitkan ahli keluarga pastikan individu itu ada hitam putih dan ketengahkan perkara ini. Kalau sekadar cakap mulut, semua orang boleh cakap," katanya.

Ditanya mengenai perkongsian ibunya di Instagram yang mempunyai maksud mendalam, Syada berkata, ibunya gemar berkongsi perkataan yang tersirat.

"Mak saya okey saja. Kalau nak tahu mak saya memang suka kongsi kata-kata seperti itu kepada kami," katanya.

Dalam perkembangan lain, Syada berkata, dia bakal melancarkan single sulungnya hasil kerjasama dengan Shila berjudul Hasrat pada 17 Mac ini.

Isnin lalu, Harian Metro melaporkan seorang penyanyi dan pelakon lelaki popular era 80-an dikatakan bernikah lagi satu secara rahsia sehingga ada yang mendakwa individu itu adalah ND Lala.

Difahamkan, isteri barunya itu masih muda dan mempunyai perbezaan usia yang jauh dengan artis terbabit.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 Mac 2023 @ 4:48 PM