Perkongsian di IG Syada.
Perkongsian di IG Syada.

Kuala Lumpur: Penyanyi Syada Amzah, 25, sebak melihat orang lain menyambut Aidilfitri lengkap dengan keluarga atau sebagai berpasangan.

Syada atau nama sebenarnya Nursyuhada Amir Amzah berkata dia menyambut Syawal pertama bersama ibunya Datin Fauziah Sarman saja dan cuma meraikan lengkap bersama adik-beradik, hari ini.

"Sejak hari raya pertama rasa rendah diri tengok orang lain ada keluarga lengkap, berpasangan (tapi semestinya saya seronok untuk mereka. Semalam saya rasa sebak betul!

"Akhirnya dapat untuk sambut raya dengan adik-beradik lengkap. Jangan salah anggap saya, beraya berdua dengan ibu saya pun 'best' (seronok). Dia layan saja saya beraya, tema warna raya tahun ini saya yang pilih, dan dia ikut saja apa saya nak makan," katanya.

Namun hati Syada cukup diruntun pilu kerana simpati dengan kesedihan yang pasti ditanggung ibunya.

"Tapi saya kasihan tengok dia sebab mesti sambil beraya itu dia tengok saja orang lain dengan ibu bapa, suami dan anak-anak. Ia meruntun saya.

"Belum dengan saya perlu untuk jaga dia daripada terdengar lagu raya sedih, sebelum dia mula nangis, saya sudah nangiskan dulu dah.

"Dia yatim piatu, kalau datuk nenek masih ada, saya pasti ia pasti lebih menggembirakan dia. Semalam, sekurang-kurangnya adik-beradik perempuannya ada di sisinya," katanya.

Sejak semalam, tular video singkat memperlihatkan kelibat bapanya Datuk ND Lala itu sedang berada di rumah pelakon Kazar Saisi selepas dikatakan menghilangkan diri dan di dakwa sudah berkahwin dua.

Pada 1 April lalu, Fauziah memuat naik foto seorang wanita termasuk mendedahkan namanya di Instagram mendakwa individu itu mengganggu rumah tangganya.

Fauziah pada 3 April lalu hadir ke Mahkamah Rendah Syariah Hulu Langat, Bandar Baru Bangi dipercayai bagi tujuan memfailkan perceraian terhadap ND Lala namun dinafikan oleh Syada.

ND Lala mendirikan rumah tangga bersama Fauziah pada 1989 dan pasangan itu dikurniakan empat cahaya mata termasuk Nur Shahila, 33, Amir Syafiq, 30, Amir Syahir, 28, dan Nur Syuhada.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 April 2023 @ 4:27 PM