Setiausaha Kehormat Persatuan Penerbit Filem Malaysia, Zahrin Aris
Setiausaha Kehormat Persatuan Penerbit Filem Malaysia, Zahrin Aris
Fatin Farhana Ariffin


Kuala Lumpur: Setiausaha Kehormat Persatuan Penerbit Filem Malaysia (PFM), Zahrin Aris berpendapat pemotongan duti hiburan memberi manfaat kepada orang ramai, bukan penerbit memandangkan penonton perlu membayar jumlah 25 peratus cukai yang dikenakan.

Bagaimanapun, katanya, pemulangan duti hiburan boleh memberikan manfaat kepada penerbit filem jika kutipan dikembalikan bagi membantu pengusaha filem lebih proaktif dalam penghasilan filem, setiap tahun.

"Sebenarnya, pemotongan duti hiburan ini memberi manfaat kepada orang ramai, bukan kepada penerbit. Tetapi, seharus diingatkan kutipan duti hiburan diambil oleh kerajaan negeri.

"Sebagai contoh, Selangor. Untuk kutipan filem tempatan dan antarabangsa, kerajaan negeri menerima kutipan duti hiburan daripada pawagam dengan anggaran antara RM40 juta hingga RM50 juta, sebulan.

"Sepatutnya kutipan ini dibelanjakan untuk membangunkan industri perfileman, tetapi ia tidak berlaku.

"Kerajaan negeri sepatutnya mengambil inisiatif terhadap perkara ini. Mekanisme mengembalikan duti hiburan boleh dibincangkan bersama.

"Mungkin apabila penerbit membuat penggambaran filem di sesebuah negeri, kerajaan negeri memberikan insentif seperti tempat tinggal secara percuma.

"Perkara ini sudah diperjuangkan lama, tetapi mengapa apabila filem Mat Kilau Kebangkitan Pahlawan keluar, ia dihangatkan semula. Sedangkan, sudah banyak filem tempatan rugi, sebelum ini," katanya kepada BH Online.

Zahrin mengulas isu duti hiburan kembali hangat diperkatakan apabila penerbit, pengarah dan pelakon, Mawi bersuara menerusi Instagram (IG) menjelaskan kutipan filem Mat Kilau Kebangkitan Pahlawan yang meraih kutipan melebihi RM12 juta ketika itu belum membawa pulangan modal berikutan kos penerbitan filem arahan Syamsul Yusof menelan belanja RM8 juta.

Dalam hantaran sama, Mawi memberitahu, ini berikutan filem ditayangkan di pawagam dikenakan cukai hiburan 25 peratus dan perkongsian itu menarik perhatian penggiat seni.

Susulan itu, Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman tampil bersuara menerusi aplikasi TikTok mengemukakan tiga cadangan bagi membantu industri perfileman terus bernafas.

Cadangan dikemukakan ahli politik menerusi video berdurasi 1.22 minit itu memohon kerajaan memotong duti hiburan bagi membantu menyemarakkan industri perfileman yang terjejas teruk akibat Covid-19.

Selain itu, Syed Saddiq mencadangkan agar duit hiburan wajib disalurkan semula kepada tabung industri seni negara dan memohon kebajikan kru dijaga serta mendapat hak sama berikutan penerbit lebih memberi perhatian kepada bintang filem.

Zahrin turut mengutarakan perkongsian keuntungan saksama antara pawagam dan penerbit sepanjang filem ditayangkan.

"Kami faham sudah ada persefahaman dengan pengusaha pawagam kena berkongsi keuntungan sebanyak 50/50 pada minggu pertama dan pawagam mengambil 60 peratus dan penerbit 40 peratus pada minggu kedua.

"Kami pernah mohon kepada pawagam melalui Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) keuntungan dikongsi 50/50 sepanjang tayangan filem.

"Bermakna, sejak hari pertama sehingga tempoh 14 hari bagi Skim Wajib Tayang, jumlah perkongsian kekal 50-50. Namun, sehingga hari ini, belum dilaksanakan," katanya.

Ekoran cadangan kebajikan kru perfileman diberikan hak sama rata, Zahrin berkata, antara perlu diubah adalah harga gaji kru di balik tabir, memandangkan tiada kenaikan sejak hampir 30 tahun lalu.

"Penyiar bayar kepada penerbit mengikut harga tetap, jadi produser terpaksa mengagihkan bayaran kepada kru mengikut harga tetap diberikan.

"Sejak 30 tahun lalu, harga program televisyen juga tidak pernah naik. Hanya sekali, RTM pernah menaikkan harga, tetapi itu pun tak banyak, sekitar 10 peratus.

"Jika mahu bezakan harga 30 tahun lalu dengan sekarang, pastinya berbeza. Harga roti canai pun sudah naik, tetapi gaji kru masih di takuk lama.

"Perkara sudah sangat lama kami perjuangkan, namun, masih tiada perubahan," katanya.

Penerbit, Datuk Ayu Puteh
Penerbit, Datuk Ayu Puteh

Sementara itu, penerbit filem Ada Apa Dengan Dosa dan Autumn In Wales, Datuk Ayu Puteh turut bersetuju dengan cadangan Syed Saddiq agar kerajaan mempertimbang duti hiburan ekoran industri filem tempatan juga membantu menggerakkan ekonomi negara.

Ayu berkata, dia berterima kasih kepada Syed Saddiq kerana mengutarakan soal duti hiburan kerana penggiat seni sudah sekian lama memperjuangkannya.

"Persatuan Penerbit Filem Malaysia (PFM) sudah bertahun-tahun memperjuangkan perkara ini. Sebelum ini, kerajaan memulangkan semula duti hiburan sebanyak 25 peratus dalam bentuk insentif bertujuan untuk membantu pembikin filem.

"Kemudian, kerajaan turunkan duti hiburan kepada 10 peratus, tetapi sekarang naik semula kepada 25 peratus.

"Sebenarnya, apabila kerajaan menaikkan semula duti hiburan yang menanggung kerugian adalah penonton kerana duti hiburan dibayar penonton dan dikutip panggung.

"Bagi penonton berduit, mungkin boleh tutup mata, tetapi bagaimana nasib mereka yang kurang berkemampuan.

"Tidak kasihankah penonton perlu membayar duti hiburan tinggi semata-mata untuk menonton dan menyokong filem tempatan di pawagam? Jika ambil duit rakyat, kemudian kembalikan, tidak mengapa," katanya.

Tambah penerbit Pencil Pictures itu, pemulangan duti hiburan kepada industri kreatif dapat menggalakkan pembikin filem terus berkarya dalam menghasilkan filem lebih bermutu tinggi.

"Kami berhabisan berjuta-juta untuk menghasilkan filem, jadi pulanglah semula 25 peratus kepada industri kreatif.

"Sebab jika mahu salurkan semula kepada tabung industri seni negara, kena tahu juga apa fungsi tabung berkenaan.

"Mungkin kelak hanya orang-orang tertentu memperoleh hasil tabungan. Risau juga tidak dapat diagihkan secara adil.

"Pemulangan duti hiburan kepada pembikin filem, dapatlah menghasilkan filem lebih baik.

"Seperti filem Mat Kilau Kebangkitan Pahlawan dapat sambutan, ia memberikan penerbit lebih semangat untuk menghasilkan filem seterusnya," katanya.

Malah, kata Ayu, perbelanjaan besar bukan hanya menghasilkan filem, sebaliknya menjalankan promosi.

"Penerbit juga mahu meletakkan poster filem di merata-rata tempat, tetapi disebabkan tiada duit, promosi tidak dapat dijalankan dengan baik.

"Apabila filem tidak boleh jual, mereka katakan filem tidak bagus, tetapi aktiviti promosi kurang kerana kami tidak mempunyai bajet mencukupi.

"Memang poster filem Hollywood merata-rata kerana bajet mereka tinggi," katanya.

Dalam soal ini, Ayu menegaskan, pawagam perlu membantu penerbit dalam mempromosikan filem.

"Cukuplah 50 peratus yang diambil, tidak perlu ditambah dan tolong buat promosi. Jangan ambil duit kami bulat-bulat.

"Dengan nilai diambil, saya merasakan pawagam perlu melakukan promosi. Sudah ambil 50 peratus, sokonglah dengan menaikkan poster dan sebagainya.

"Pihak pawagam tidak mengeluarkan modal untuk membuat filem. Disebabkan itu, saya berharap, kerajaan dan pawagam janganlah pandang penerbit filem sebelah mata.

"Ini kerana kami berbelanja besar dalam memberikan hiburan pada penonton," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 Julai 2022 @ 8:12 PM