Fasha terkejut banyak akaun palsu mengenainya.
Fasha terkejut banyak akaun palsu mengenainya.
Sudirman Mohd Tahir


Kuala Lumpur: Pelakon popular Fasha Sandha terkejut apabila terdapat tujuh laman kelab peminat palsu di Facebook menggunakan namanya.

Fasha, 32, merayu supaya individu terbabit tidak menyamar sebagai dirinya bagi mengelakkan salah faham berlaku dalam kalangan peminat dan pihak lain.

"Kalau nak tahu saya tidak pernah mempunyai akaun kelab peminat di Facebook apatah lagi yang menggunakan nama saya. Buat masa sekarang saya hanya berkomunikasi dengan peminat menerusi laman Twitter dan Instagram saja.

"Saya bersuara kerana tidak mahu peminat keliru dan percaya itu adalah saya. Bukan apa, saya khuatir sekiranya ada pihak menggunakan akaun itu bagi tujuan dan kepentingan peribadi.

"Lebih teruk jika perkara itu membuatkan peminat terpedaya dengan apa yang dimuatnaik," katanya kepada Harian Metro.

Fasha yang juga bintang utama drama Lara Aishah bagaimanapun tidak marah dengan tindakan individu berkenaan.

"Saya langsung tak marah sebaliknya menghargai pengorbanan masa yang diberikan mereka untuk mewujudkan akaun itu. Saya yakin akaun itu dibuat oleh peminat saya sendiri dan mungkin juga 'admin' kepada produk saya.

"Apa pun saya berterima kasih kerana ramai yang peka dan prihatin. Saya cuma mohon mereka tidak menyamar sebagai saya,” katanya.

Semalam Fasha memuat naik status beserta paparan skrin akaun Facebook palsu yang menggunakan namanya di laman Instagram miliknya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 Oktober 2016 @ 6:42 PM