NORANIZA Idris. FOTO Zunnur Al Shafiq
NORANIZA Idris. FOTO Zunnur Al Shafiq
Syafil Syazwan Jefri


PENYANYI Etnik Kreatif, Noraniza Idris menafikan sengaja menimbulkan provokasi terhadap penyanyi nombor satu, Datuk Seri Siti Nurhaliza dan juga peminat-peminatnya di Instagram.

Noraniza atau mesra disapa Kak Ani berkata, tindakannya memuat naik foto bersama Allahyarham Datuk Sudirman Arshad dan melabelkan arwah sebagai 'penyanyi nombor satu' adalah tanda penghormatan dan kenangannya bersama ikon itu.

"Saya tak ada niat untuk memprovokasi sesiapa, sebaliknya sebagai tanda penghargaan kepada Allahyarham dan juga untuk berkongsi kenangan bersamanya ketika dia masih hidup.

"Foto lama itu juga dihantar oleh teman saya. Jadi, apa salahnya saya kongsikan gambar lama itu kerana ia tidak ada dalam koleksi saya. Lagi pula, itu adalah akaun Instagram saya," katanya kepada Harian Metro.

Kata Noraniza lagi, dia sendiri terkilan dengan sikap sesetengah peminat artis yang sengaja mengeruhkan keadaan dengan menulis komen-komen berbaur negatif.

"Sejujurnya, saya sendiri terkilan dengan sikap sesetengah peminat yang terlalu gemar mengapi-apikan keadaan, meskipun apa yang saya tulis itu, hanyalah sekadar perkongsian peribadi di media sosial.

GAMBAR yang dimuatnaik Noraniza di Instagram sehingga mencetuskan perbalahan dalam kalangan peminat Datuk Seri Siti Nurhaliza. FOTO Instagram
GAMBAR yang dimuatnaik Noraniza di Instagram sehingga mencetuskan perbalahan dalam kalangan peminat Datuk Seri Siti Nurhaliza. FOTO Instagram

"Saya tak salahkan mana-mana artis apabila ada peminat mereka yang terlalu taksub, sentiasa memberikan komen negatif kepada artis lain. Bagi saya, itu mencerminkan sikap mereka sebagai peminat," katanya.

Ditanya mengenai hubungannya dengan Siti, Noraniza berkata, dia tidak ada sebarang masalah dengan penyanyi itu.

"Saya dengan Siti tak ada apa-apa masalah. Sebenarnya, saya malas nak komen sebab nanti, orang akan kata saya menangguk di air yang keruh. Mentang-mentang saya dah sendu.

"Saya tak suka nak bergaduh dengan budak-budak (peminat) sekarang. Pada saya, ini bukan permainan saya," katanya.

Noraniza juga memaklumkan, tidak semua yang menulis komen di Instagramnya itu adalah peminat sejati Siti, sebaliknya ada juga pemilik akaun palsu.

"Ada juga akaun-akaun palsu yang menulis komen di Instagram saya. Bila dibuka dan diselidik, rupanya tak ada gambar pun. Peminat Siti pun ada yang memaklumkan bahawa itu bukanlah daripada kalangan mereka (peminat setia)," katanya.

Terbaru, Noraniza akan hadir di acara Malai Fest 2020 yang juga menampilkan Malai Solo Noraniza Idris in Concert pada 11 dan 12 September 2020 di Istana Budaya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 Februari 2020 @ 7:21 PM