Akaun rasmi Siti dan akaun palsu (kanan) disalahguna pihak tidak bertanggungjawab.
Akaun rasmi Siti dan akaun palsu (kanan) disalahguna pihak tidak bertanggungjawab.
Oleh Nurul Huda Kosnon


Kuala Lumpur: Biarpun sudah ditegur dan tindakan diambil namun masih ada individu berdegil dan tidak bertanggungjawab menyamar sebagai penyanyi tersohor negara Datuk Siti Nurhaliza Taruddin di laman Facebook dan Twitter.

Nama Siti pernah digunakan sebagai duta tanpa perjanjian atau pelantikan sah dengan tujuan mahu mengaut keuntungan mudah.

Ia kini melarat apabila wujudnya akaun Facebook palsu memutar belit fakta kononnya Siti menyokong rejim Israel berdasarkan situasi genting berlaku di Gaza ketika itu. Malah ada laporan mendakwa dirinya hamil.

Siti ketika dihubungi berkata, memang ramai mengambil kesempatan menggunakan nama artis di laman sosial namun perkara paling utama pengguna laman itu dan peminat perlu tahu ia akaun rasmi seseorang artis itu atau sebaliknya.

"Ada admin laman sosial tidak bertanggungjawab menggunakan 'page' nama artis dan memuatnaik status atau perkara tidak sepatutnya.

"Perkara itu tentunya menjejaskan nama baik artis kerana ada pihak akan beranggapan akaun itu milik artis berkenaan. Begitu juga apa yang berlaku terhadap diri saya," katanya.

Siti tidak mahu namanya terus dikait dengan pihak tidak bertanggungjawab dan terbabit dengan akaun Facebook palsu.

"Saya sudah beberapa kali menegur dan mengambil tindakan terhadap individu tidak bertanggungjawab tetapi sikap mereka masih sama.

"Saya harap peminat dan pengguna laman sosial tidak terpedaya dengan akaun palsu seumpama itu," katanya.

Siti menerusi laman sosial Instagram menyatakan ada individu menyamar dirinya dengan membuka akaun Facebook atas nama Datuk Siti Nurhaliza.

Akaun Facebook Siti palsu itu sehingga kini sudah menerima lebih 500,000 like daripada peminat Siti.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Ogos 2016 @ 5:45 PM