SITI Nurhaliza. FOTO Arkib NSTP
SITI Nurhaliza. FOTO Arkib NSTP
Raja Noraina Raja Rahim dan Muhaamad Hafis Nawawi dan Sudirman Mohd Tahir

Kuala Lumpur: Guna video siaran langsung artis terkenal yang lama dan 'cipta' akaun baharu di laman sosial kononnya artis atau pempengaruh terbabit sedang bersiaran langsung dengan menawarkan sejumlah wang.

Itu taktik scammer mahu memperdayakan mangsa yang menyangka artis atau pempengaruh kesukaan mereka menawarkan hadiah wang tunai sebelum tanpa ragu-ragu mengikut arahan sindiket penipuan.

Apabila mangsa yang tertarik dengan tawaran lumayan itu memberi komen di hantaran Facebook terbabit, sindiket akan menghantar satu pautan yang memintanya mengisi maklumat peribadi termasuk perbankan mangsa.

Jika mangsa terpedaya dengan mengisi maklumat perbankan itu, wang yang ada di dalam akaun akan 'disedut' oleh scammer terbabit menyebabkan mereka hanya berputih mata.

Mendedahkan perkara itu, penyanyi terkenal Datuk Seri Siti Nurhaliza berkongsi pengalamannya apabila scammer turut menggunakan gambar dan video lamanya untuk memperdayakan orang ramai.

Menurutnya, perbuatan licik scammer menggunakan gambar dan video saya serta artis lain dilihat semakin berleluasa.

"Mereka akan mengambil video live (siaran langsung) saya yang lama-lama dan dijadikan seolah-olah saya sedang live dengan menawarkan wang tunai, tetapi ini adalah bentuk penipuan.

"Selain itu, gambar saya juga disunting untuk memperkenalkan produk tertentu. Ia satu bentuk penipuan, tidak semua orang sedari dan akan memberi impak buruk kepada artis terbabit.

"Saya sangat berharap supaya pengguna media sosial akan lebih berhati-hati, tidak terpedaya dan kesedaran tentang aktiviti scammer ini juga mereka perlu peka. Semoga dengan kesedaran ini, pengguna media sosial tidak terpedaya," katanya.

Katanya, perkara sebegitu sudah berlaku ke atas dirinya sebanyak tiga hingga empat kali dan masih berleluasa.

"Apa yang mampu dilakukan selain membuat posting mengenai berita palsu itu, saya juga mahu lebih ramai pengguna peka. Selain gambar saya, gambar anak dan suami saya juga turut digunakan.

"Saya berterima kasih kepada peminat yang selalu memberi maklum balas kepada laman yang membuat berita palsu, aktiviti scammer dan dalam masa yang sama akan memberitahu saya atau pengurusan," katanya.

"Agak sukar untuk saya mengawal keadaan ini, tetapi berharap timbul kesedaran bukan sahaja kepada pengguna tetapi mereka yang bertanggungjawab membuat aktiviti dan berita palsu ini," katanya.

'Scammer' menyamar jadi Syahmi guna video live lama

Jangan percaya dan terpedaya. Itu nasihat diberikan Youtuber Syahmi Sazli kepada orang ramai berhubung tindakan scammer yang menggunakan video siaran langsungnya yang lama untuk menipu.

Syahmi atau nama sebenar Muhd Syahmi Sazli, 28, berkata namanya sering digunakan sindiket penipuan dengan pelbagai taktik untuk memperdayakan mangsa.

"Mi (Syahmi) dan (isteri) Nissa tidak terbabit dengan mana-mana pelaburan, jika nama dan muka kami digunakan... itu semua tipu.

"Terbaharu, curi live (siaran langsung), scammer buat akaun Facebook palsu menggunakan nama Mi tapi huruf digunakan pelik-pelik dan jika tengok follower (pengikut) pun puluh serta ratus (orang) saja.

"Ramai yang mesej dan DM (mesej langsung) Mi tanya betul ke tidak? Janganlah percaya," katanya menerusi rakaman video yang dimuat naik di Facebook rasminya, baru-baru ini.

VIDEO live lama milik Syahmi digunakan semula oleh scammer bagi mencari mangsa untuk ditipu.
VIDEO live lama milik Syahmi digunakan semula oleh scammer bagi mencari mangsa untuk ditipu.

Syahmi membuat penafian itu selepas tular taktik satu sindiket penipuan yang menggunakan video siaran langsungnya kononnya menawarkan hadiah dan wang tunai RM1,000 kepada 250 individu.

Sindiket menyamar sebagai 'Syahmi' dan memuat naik video berserta hantaran menulis '250 orang pertama yang berkata 'Salam, saya beri RM1,000 mulai sekarang' di platform Facebook.

Selepas itu, mangsa akan menerima mesej kononnya mereka memenangi tawaran hadiah berkenaan.

Bagaimanapun, mangsa dikehendaki mendaftar dan mengisi maklumat peribadi termasuk maklumat perbankan melalui pautan diberi.

Mangsa yang menuruti arahan itu kemudian akan menerima mesej 'Tahniah' kononnya berjaya memenangi wang tunai RM1,000.

MESEJ yang dihantar scammer kepada mangsa kononnya mangsa dipilih sebagai pemenang untuk menerima hadiah wang tunai RM1,000.
MESEJ yang dihantar scammer kepada mangsa kononnya mangsa dipilih sebagai pemenang untuk menerima hadiah wang tunai RM1,000.

Mengulas lanjut, Syahmi memaklumkan hanya mempunyai tiga akaun Facebook iaitu Syahmi Sazli Production, Syahmi Sazli TV dan Syahmi Sazli bertanda biru (blue tick).

Katanya, kesemua akaun Facebook berkenaan mempunyai pengikut antara 300,000 sehingga 2.6 juta orang.

"Mi mengingatkan ini buat kali terakhir sebab sebelum ini hari-hari Mi dah mengingatkan pasal scammer guna identiti Mi dan Nissa. Jangan percaya dan terpedaya," katanya.

Dalam hantaran berasingan, beliau turut memuat naik tangkap layar beberapa akaun Facebook palsu yang menggunakan namanya dipercayai dilakukan oleh sindiket penipuan.

Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada pihak berkuasa kerana memberi amaran kepada orang ramai berhubung penipuan itu.

SYAHMI mengambil inisiatif dengan memberitahu pengikutnya supaya jangan terpedaya dengan scammer yang menyamar menjadi dirinya di media sosal.
SYAHMI mengambil inisiatif dengan memberitahu pengikutnya supaya jangan terpedaya dengan scammer yang menyamar menjadi dirinya di media sosal.

Wujud peluang 'scammer' kitar semula video untuk menipu mangsa

Scammer menggunakan perisian di dalam laman sosial Facebook yang membolehkan video lama diubah seolah-olah sedang bersiaran langsung untuk memperdayakan orang ramai bagi melakukan penipuan.

Presiden Persatuan Pengguna Siber Malaysia (MCCA) Siraj Jalil berkata, mereka akan memuat turun video artis atau individu terkenal yang lama dan memuat naik semula di Facebook menggunakan setting tertentu sehingga menampakkan sedang bersiaran langsung.

Menurutnya, ia adalah modus operandi atau taktik baharu penipuan dalam memerangkap mereka yang melihat video itu dan menyangka ada penawaran wang.

"Itu yang berlaku kepada Youtuber popular, Syahmi Sazli apabila video siaran langsungnya yang lama dimuat naik semula oleh individu menyamar sebagai dirinya dan menawarkan wang.

"Nasihat saya kepada pempengaruh ini dan artis jika ingin membuat siaran langsung di laman sosial mereka dengan menawarkan hadiah wang kepada peminat, sila berhati-hati kerana akan wujud peluang kepada scammer untuk mengitar semula video itu untuk menipu mangsa," katanya kepada Harian Metro.

Katanya, jika ada laporan polis dibuat kerana 'mangsa' tertipu, sudah tentu nama mereka juga akan terkait walaupun hakikatnya mereka tidak terbabit.

"Memang niat itu baik, menawarkan hadiah tetapi perlu berhati-hati kerana scammer akan mencari peluang untuk menipu mangsa," katanya.

'Modus operandi terbaharu mereka'

Orang ramai dinasihatkan tidak terpedaya dengan iklan 'perangkap' pengendali laman sosial yang menyamar kononnya adalah selebriti atau pempengaruh yang menawarkan sejumlah wang ketika bersiaran langsung.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, scammer sentiasa mencari jalan dalam menipu mangsanya dan ia adalah modus operandi baharu mereka.

Menurutnya, orang ramai jangan mudah terpengaruh dengan penipuan ini kerana tiada cara mudah untuk mendapatkan duit kecuali memang ada pertandingan yang sahih dan diperakui.

RAMLI. FOTO Ihsan PDRM
RAMLI. FOTO Ihsan PDRM

"Namun jika tiba-tiba terima mesej anda memenangi pertandingan bertuah atau seperti taktik menawarkan hadiah ketika membuat siaran langsung dengan menyamar guna akaun orang lain, janganlah mempercayainya.

"Jangan melayan apa-apa sahaja tawaran berbentuk kewangan jika ia meragukan kerana lebih baik kita cegah sebelum menjadi mangsa penipuan," katanya.

Katanya, pihaknya mengesahkan kaedah itu adalah taktik baharu scammer dalam memerangkap orang ramai menjadi mangsa penipuan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 Julai 2023 @ 7:30 AM