Kuala Lumpur: Filem Tiger Stripes dipilih secara rasmi mewakili Malaysia bagi kategori Filem Cereka Antarabangsa Terbaik di Anugerah Akademi ke-96 (Oscars) pada Mac tahun depan.

Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil berkata, pemilihan filem itu  diputuskan oleh Jawatankuasa Pemilihan Filem (JKPF) Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas). 

Jawatankuasa itu terdiri daripada penggiat industri filem tempatan bertaraf profesional dan berpengalaman melalui proses penilaian serta pematuhan kepada peraturan penyertaan yang ditetapkan oleh pihak penganjur Oscars.

"Semoga perkembangan ini menjadi penyuntik semangat kepada semua penggiat filem untuk terus mendukung misi kerajaan dalam usaha memperkasakan industri perfileman negara di peringkat global.

"Pada masa yang sama saya berharap usaha ini akan meningkatkan potensi penjenamaan serta pengantarabangsaan produk filem dan bakat kreatif negara yang berkualiti tinggi," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Filem arahan sulung Amanda Nell Eu itu dibintangi Zafreen Zairizal, Piqa, Deena Ezral, Jun Lojong, Khairunazwan Rodzy, Fatimah Abu Bakar, Shaheizy Sam serta ramai lagi.

Filem ini pernah memenangi Anugerah Grand Prix di Semaine de la Critique ke-62 sempena Festival Filem Cannes ke-76 di Perancis.

Selain itu, Tiger Stripes turut menerima Anugerah Khas Penghargaan Juri (Special Jury Mention) bagi kategori Filem Cereka Pertama di Fantasia International Film Festival ke-27 di Kanada, masing-masing pada Mei dan Julai lalu.

 

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 Oktober 2023 @ 6:54 PM