MUZZAMER Rahman.
MUZZAMER Rahman.
Georgie Joseph


Kuala Lumpur: Pengarah Prebet Sapu, Muzzamer Rahman berharap tuah menyebelahi filem itu untuk tersenarai pendek ke peringkat seterusnya bagi acara berprestij Anugerah Akademi Ke-94 atau Oscar yang berlangsung tahun depan.

Ia susulan filem mengenakan judul bahasa Inggeris, Hail, Driver! terbabit diumumkan Perbadanan Kemajuan Filem Malaysia (Finas) terpilih mewakili Malaysia bagi kategori Filem Cereka Antarabangsa Terbaik untuk pencalonan awal Oscar, semalam.

Muzzamer berkata, dia sendiri sudah mengkaji calon filem dari negara lain untuk kategori itu dan berharap Prebet Sapu mampu memikat hati juri kelak.

"Semestinya dapat mewakili Malaysia untuk pencalonan awal pun sudah sangat-sangat menggembirakan. Apalagi kami produksi baharu dan filem itu dihasilkan kru tempatan saja dengan bajet rendah.

"Saya ada menonton filem lain kategori sama dari Kemboja, Indonesia, dan lain-lain. Ada kelebihan daripada segi penceritaan, namun bukan bermakna saya mahu merendahkan filem tempatan kita.

"Kalau lolos senarai pendek nanti, saya anggap itu 'tuah orang baharu' saja. Lagipun belum ada filem Malaysia berjaya berbuat demikian untuk kategori itu rasanya dan jika termakbul, pasti kebanggaan besar buat kami semua," katanya.

Muzzamer juga mengakui proses untuk pemilihan itu bukan mudah dan dibuat saat-saat akhir oleh Finas. Namun dia lega akhirnya kini pasti dan memberitahu filem itu turut ditayangkan di Festival Filem Asia Dunia (AWFF), Los Angeles (LA), bermula hari ini.

"Selepas menghantar filem itu untuk penilaian Finas, setiap hari saya rasa tak keruan juga. Ini kerana, filem dari negara lain sudah dihantar ke pihak Oscars sejak berbulan yang lalu manakala tarikh akhir hantar adalah pada 1 November lalu.

"Akhirnya, berita gembira itu menyusul dan kami cuma boleh berkongsinya selepas kenyataan rasmi Finas dikeluarkan. Susulan itu, Prebet Sapu juga terus ditayangkan di AWFF hari ini," katanya.

Pembikinan filem itu cuma menelan kos RM500,000 dan beberapa pelakon nama besar sanggup dibayar 'token'. Muzzamer adalah graduan Fakulti Filem, Teater dan Animasi, Universiti Teknologi MARA (UiTM)

Semalam, Finas mengumumkan berita gembira Prebet Sapu terpilih selepas memenuhi beberapa kriteria ditetapkan penganjur. Penilaian dibuat Jawatankuasa Pemilihan Filem Finas yang dianggotai penggiat filem profesional dan berpengalaman.

Filem terbitan Le Mediator Studio, Kristal Azmir Sdn Bhd dan Konda Kondi Studio itu dijadualkan bakal ditayangkan di pawagam pada 16 Disember nanti. Ia diterajui pelakon Amerul Affendi dan Mei Fen Lim.

Selain mereka, ia turut menampilkan Bront Palarae, Sharifah Amani, Nam Ron, Nadiya Nisaa, Chew Kin Wah, Jay Iswazir, Anas Ridzuan, Roslan Madun dan ramai lagi.

Menariknya, filem hitam putih itu pernah mewakili Malaysia ke pelbagai festival filem antarabangsa termasuk Udine Far East Film Festival di Itali.

Tidak ketinggalan, di Jogja-Netpac Asian Film Festival (JAFF) Indonesia; Toronto Reel Asian Film Festival, Kanada; Asian Film Festival Barcelona; Sepanyol dan Innovative International Film Festival di India.

Anugerah Akademi akan diadakan di Los Angeles pada 27 Mac tahun depan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 November 2021 @ 1:00 PM