Alif Satar & The Locos. Foto Nabila Adlina Azahari
Alif Satar & The Locos. Foto Nabila Adlina Azahari
Georgie Joseph


Kuala Lumpur: Alif Satar & The Locos (ASTL) menyimpan cita-cita mahu menjadi artis Malaysia keempat dapat beraksi di lokasi ikonik, Royal Albert Hall, London, selepas Allahyarham Datuk Sudirman Haji Arshad, Datuk Seri Siti Nurhaliza, dan Raihan.

Alif atau nama sebenarnya Muhammad Alif Mohd Satar, 32, berkata idea tercetus susulan kejayaan konsert mereka bersama Orkestra Filharmonik Malaysia (MPO) di Dewan Filharmonik Petronas, KLCC, bulan lalu.

"Selepas konsert MPO tempoh hari, kalau Alif Satar & The Locos dapat buat persembahan secara langsung di Royal Albert Hall pun menarik juga. Insya Allah, konsep sama dengan di MPO tapi dari lokasi itu. Ada tiga nama saja yang pernah beraksi di situ.

"Kalau dapat buat di Chow Kit yang mana setakat ini hanya Sudirman pernah melakukannya, pun menarik juga. Kami banyak pilihanlah nak difikirkan," katanya sewaktu sidang media pelancaran album ASTL di kapal persiaran mewah Genting Dream, baru-baru ini.

Alif berkata, mereka yakin untuk menyimpan angan-angan tinggi beraksi di Royal Albert Hall disebabkan tahu sokongan rakyat Malaysia di Eropah memang luar biasa. Beberapa tahun lalu, mereka sudah pernah mencuba nasib mengadakan persembahan di lokasi termasuk Manchester, Leeds, dan London.

"Sewaktu melakukannya, ia satu pengalaman (hebat) untuk kami. Sepatutnya acara itu untuk 200 orang saja. Kemudian, ia bertambah seramai 500 orang. Ketika itu persembahan kami cuma menggunakan 'cajon' saja.

"Harapnya kami dapat melakukannya lagi dengan konsert sebenar di United Kingdom. Ini kerana pelajar-pelajar Malaysia di sana memang sangat-sangat memberi sokongan kuat. Pelajar dari Belanda, Ireland, Jerman, datang masa kami di sana.

"Kami turut membuat persembahan ala pemuzik jalanan di sebuah taman di Manchester. Hal-hal kecil begitulah momen yang kami cipta," katanya.

Selain Alif, ASTL turut dianggotai oleh Tam Cobain (gitar), Efry Arwis (bass), Rajwan Juni (dram) dan Faliq Auri (saksofon).

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 September 2023 @ 3:19 PM