ASTL bersama Diandra Arjunaidi hadiahkan lagu baharu buat peminat.
ASTL bersama Diandra Arjunaidi hadiahkan lagu baharu buat peminat.
Affan Rostam


Alif Satar & The Locos (ASTL) kembali menyajikan halwa telinga peminat muzik tempatan dengan menghadiahkan 'buah tangan' baharu mereka berjudul Lelaki X Sempurna selain turut bergandingan bersama Diandra Arjunaidi.

Alif, 32, berkata, lagu ini sangat istimewa buat mereka kerana penghasilan awalnya adalah daripada penyanyi muda yang cukup berbakat seperti Yonnyboii.

"Saya susah sebenarnya nak bekerja dengan penerbit baharu ini, tapi bila saya dengar demo daripada Yonnyboii, saya terus cakap jangan bagi lagu ini dekat orang lain. Jadi, kami rakam dan ada beberapa penambahan dalam lagu itu.

"Saya juga ada suntikkan gaya Alif Satar & The Locos dalam lagu itu. Saya rasa Yonnyboii antara penulis lagu dan komposer hebat bagi generasi muda sekarang ini," katanya.

Selain itu, Alif meluahkan rasa teruja apabila lagu ini turut disulami dengan sentuhan magis daripada pengarah muzik kepada penyanyi bertaraf antarabangsa, Beyonce iaitu Rie Tsuji.

"Kami nak satu bunyi yang moden, segar dan cukup berbeza daripada lagu-lagu yang ada dekat tanah air kita ini.

"Jadi saya rasa 'vibe' lagu ini perlu kena dengan cita rasa pendengar zaman sekarang yang ada 'feel' Hollywood dan dalam masa sama kena dengan jiwa orang kita," katanya.

Menurutnya, irama lagu ini mempunyai 'corak dan warna' tersendiri yang menambahkan lagi serinya selain mengakui ia berbeza daripada lagu-lagu lain.

"Lagu ini cukup berbeza daripada lagu lain. Bila saya dengar 'beat' dan temponya dia ada R&B, ada balada, ada pop. Saya boleh kata lagu ini ada jiwa.

"Jadi saya rasa penulisan Yonnyboi untuk lagu ini cukup unik. Saya rasa sangat bersyukur bila Yonnyboi bagi peluang untuk kami bekerja dalam karyanya kali ini," katanya.

ASTL ketika ini dalam usaha untuk menghasilkan sebuah album dan lagu Lelaki X Sempurna ini akan menjadi sebahagian daripada album mereka itu.

"Lagu ini saya dan band (The Locos) dah dapat dalam setahun yang lalu. Kita sekarang dalam proses untuk merakamkan sebuah album bersama Warner Music Malaysia. Selepas kami dah keluarkan beberapa lagu antaranya Anugerah Terindah dengan Raihan.

"Jadi kami pun nak keluarkan satu single untuk tunjukkan yang kami sedang dalam usaha untuk menghasilkan sebuah album," katanya.

Ditanya berkenaan keserasian bersama Diandra, Alif sama sekali tidak berasa janggal apatah lagi kekok kerana perkenalan mereka sudah pun melebihi satu dekad.

"Saya dah kenal Diandra ini lama dah mungkin dalam 16 tahun sejak awal kami menyanyi dulu. Jadi, kami fikir nak buat kelainan dan pilih Diandra. Dia pun suka dengan idea kami dan dia juga mahu buat kemunculan semula.

"Saya suka bekerjasama dengan orang yang muzikal identiti dan latar belakang muzik yang hebat sepertinya. Saya rasa tona suara Diandra untuk lagu ini memang cukup sempurna," katanya.

Menurut Alif, mereka tidak berdepan sebarang cabaran ketika proses rakaman lagu ini memandangkan pengalamannya selama ini mengajar untuk lebih teliti dalam berkarya.

"Tak ada cabaran apa-apa ketika proses rakaman lagu. Sebab bila saya dah lama dalam industri kita akan lebih teliti tentang apa yang kita nak buat.

"Cuma empat atau lima kali juga lagu ini masuk dalam proses rakaman untuk rakam semula muzik, tukar tempo dan perkara berkaitan bagi memberi kelainan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 Julai 2022 @ 6:55 AM