Showcase Alif Satar & The Locos (ASTL) di St John’s, Hyde Park, London mendapat respon pelbagai.
Showcase Alif Satar & The Locos (ASTL) di St John’s, Hyde Park, London mendapat respon pelbagai.

Kuala Lumpur: Lokasi tempat berlangsungnya showcase Alif Satar & The Locos (ASTL) di St John's, Hyde Park, London pada 28 April lalu sememangnya disewakan untuk pelbagai acara termasuk sebagai pusat komuniti.

Disebabkan banyak pertikaian, sahabat Alif Satar iaitu Zaidan Zainuddin memberi pencerahan mengenai lokasi berkenaan yang mana asalnya menimbulkan keraguan juga.

"Orang kita cepat melatah. Isu Alif buat konsert kat gereja. Kamu tahu tak gereja yang penganjur acara sewa ini adalah pusat komuniti atau ruang acara yang memang untuk disewakan?

"Masa saya pergi tinjau sebelum hari konsert, ada ramai kanak-kanak kat tengah-tengah ruang ini. Mereka tengah ada sesi taska. Rasa macam peliklah juga, ini gerejakah dewan?

"Mula-mula saya sampai adalah rasa terkejut buat persembahan sini tapi bila tahu tempat ni memang ruangan acara dan gereja ini tiada salib pun pasal ia adalah gereja Anglican, maka saya faham," katanya.

Zaidan berkata dia percaya Alif juga pastinya sudah menitikberatkan banyak hal mengenai pemilihan lokasi acara Alif Satar & The Locos: Live in London itu.

"Tanggapan saya berubah, betul juga masa saya belajar seni bina Islamik, masjid sepatutnya jadi pusat komuniti, tempat orang berkumpul untuk buat aktiviti, bukan saja untuk tempat solat.

"Kenapa kita ada perspektif fikiran cetek yang bukan muslim tak boleh masuk kawasan masjid, orang Islam tak boleh masuk gereja? Macam saya sudah cakap sebelum ini, Alif tak bodoh sangatlah untuk buat keputusan bab memilih lokasi persembahan dia," katanya.

Alif juga sempat berterima kasih kepada Zaidan dan kongsikan penjelasan berkenaan menerusi IG Story.

Terdahulu, klip ASTL menghiburkan penonton di sebuah bangunan menyerupai gereja menerima pelbagai maklum balas.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Mei 2024 @ 1:21 PM