Ibnor Riza
Ibnor Riza
Ramlah Zainal


Kuala Lumpur: "Sepatutnya saya dijadualkan buat dua sesi kemoterapi di pusat perubatan swasta minggu lalu tetapi terpaksa ditangguhkan kerana wang tak cukup," kata penyanyi popular era 80-an, Ibnor Riza, 62, yang menghidap kanser limfoma tahap empat.

Ibnor berkata, dia memerlukan dana sebanyak RM30,000 untuk menampung kos dua sesi kemoterapi yang dijadualkan di pusat perubatan di Petaling Jaya itu.

"Saya sudah menjalani kemoterapi sebanyak enam kali di hospital kerajaan sebelum ini tetapi sel kanser masih ada lagi.

"Selepas mendapat nasihat doktor pakar, saya merancang untuk buat dua lagi sesi kemoterapi tetapi di pusat perubatan swasta di Petaling Jaya," katanya kepada Harian Metro.

Ditanya mengenai dana itu, Ibnor berkata, dia bersyukur kerana beberapa rakan artis mengambil inisiatif untuk menganjurkan program Malam Untukmu Ibnor untuk mengumpul dana menampung kos perubatannya itu.

Antara yang terbabit ialah Datuk Siti Fairuz, Jay Jay, Nizam Laksamana dan Sophia Ibrahim.

Menurutnya, program amal itu akan berlangsung di Hotel Grand Barakah, di sini, pada 30 Ogos ini.

"Saya merayu supaya orang ramai dan rakan artis untuk tampil membeli meja yang dijual untuk malam amal itu nanti.

"Saya sendiri berusaha untuk menjual meja untuk program amal ini kepada rakan artis dan setakat ini baru beberapa meja saja dapat dijual," katanya dengan nada sebak.

Pada masa sama, Ibnor berkata, dia juga sudah sembilan bulan tidak bekerja dan tiada pendapatan sejak menghidap kanser limfoma itu.

"Ada juga pihak yang menghulurkan sumbangan wang ringgit tetapi wang itu digunakan untuk menampung kehidupan seharian kerana saya sudah tidak mampu menyanyi seperti dulu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 Ogos 2023 @ 4:16 PM