MAJLIS Malam Santai Nostalgia meriah.
MAJLIS Malam Santai Nostalgia meriah.
Sudirman Mohd Tahir

Bagi membantu dan meringankan beban artis veteran tanah air, Persatuan Kebajikan Artis Veteran Malaysia (PKAVM) mengambil inisiatif dengan mengadakan Majlis Malam Santai Nostalgia.

Menurut Presiden PKAVM Rahim Jailani, ia acara terbesar pertama yang dianjurkannya sejak mengambil alih persatuan itu pada 2015.

“Tujuan utama majlis itu untuk mencari dan mengutip dana persatuan. Ia percubaan pertama kami. Saya ingin melihat sejauh mana sambutan diberikan ahli dan anak seni lain.

“Sebelum ini ada beberapa program lain bagi tujuan sama, tetapi majlis malam santai adalah acara besar pertama sepanjang saya mengambil alih persatuan. Bukan tidak ada langsung duit, cuma kami nak menambah dana yang ada bagi memudahkan bantuan diberikan kepada ahli yang memerlukan.

“Bukan apa, sebelum ini kami tidak dapat menyalurkan sumbangan dalam jumlah banyak kerana kekangan dana. Jadi diharap program seumpama ini dapat menampung dana sedia ada,” katanya.

Rahim berkata, PKAVM tidak menyasarkan sebarang jumlah daripada majlis itu kerana dia lebih bersikap terbuka.

Selain majlis itu, Rahim juga masih berjuang untuk mendapatkan rumah buat ahli iaitu artis veteran yang memerlukan.

“Fokus utama saya sekarang untuk mendapatkan rumah buat mereka. Sekurang-kurangnya rumah Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT). Malah perkara ini pernah saya suarakan ketika menghadiri forum anak seni TN50 bersama Perdana Menteri, baru-baru ini.

“Kalau boleh saya memang nak mereka dapat rumah. Lagipun, masalah ini bukan perkara baru. Saya sudah usahakan perkara ini, tetapi belum mendapat maklum balas daripada pihak berkuasa. Permohonan tidak sampai 10 orang pun, namun terlalu sukar nak diluluskan,” katanya.

Pada masa sama, Rahim juga menggesa ahli PKAVM memberikan kerjasama kepada persatuan dalam apa jua aktiviti dijalankan.

Menurut Rahim, terdapat artis veteran yang ada nama bersikap terlalu berkira dengan bertanyakan soal bayaran jika diundang membuat persembahan.

“Apa yang saya perasan, banyak artis veteran yang ada nama kurang peka dengan kebajikan orang lain. Sikap terlalu berkira membuatkan mereka berasakan persatuan tidak penting. Namun apabila mereka ditimpa kesusahan, baru nak cari persatuan dan meminta bantuan.

“Saya bukannya mahu mengungkit tetapi itulah yang berlaku dalam mana-mana persatuan. Sekiranya mereka ada kesedaran untuk melakukan kebajikan, pasti tidak susah nak membantu rakan artis yang lain,” katanya.

Berkongsi mengenai perancangan PKVAM yang lain, Rahim berkata, pihaknya dalam perancangan mewujudkan tabung pembiayaan hospital.

“Selama ini memang tak ada lagi. Saya sudah menghantar kertas kerja kepada Perdana Menteri, tetapi belum mendapat sebarang maklum balas. Selain itu, kami juga ingin menganjurkan kursus haji dan pengurusan jenazah. Soal kebajikan perlu seimbang antara dunia dan akhirat,” katanya.

Ketika ini PKAVM masih meneruskan program mingguan iaitu kelas agama dengan kerjasama Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (MAWIP) dan Baitulmal WP.

Sambut baik

Malam Santai Nostalgia yang diadakan baru-baru ini dihadiri ahli persatuan dan beberapa individu lain yang membeli meja bagi tujuan mengutip dana.

Turut diadakan persembahan daripada beberapa arti veteran antaranya Datuk Yusni Hamid, Aspalela Abdullah, Datuk Jalaluddin Hassan, S Mariam, Syed Aziz, Maria Kamal dan Musly Ramli.

Bagi penyanyi lagu Penggodaan, Aspalela menyifatkan majlis diadakan itu sesuatu yang bagus untuk membantu ahli.

“Kalau ikutkan saya nak berdiri lama pun susah. Malah anak pun nasihatkan duduk di rumah saja. Namun apabila membabitkan acara persatuan, saya lebih bersemangat. Selain dapat menghiburkan tetamu, saya boleh berjumpa dengan kawan lama.

“Tujuan majlis ini diadakan sedikit sebanyak dapat membantu persatuan meringankan beban ahli memerlukan. Saya berharap program sebegini dapat diteruskan pada masa akan datang,” katanya.

Sependapat dengan Aspalela, pelakon tersohor Datuk Jalaluddin Hassan juga berharap lebih banyak aktiviti dijalankan membabitkan ahli.

“Saya tahu banyak aktiviti dirancang persatuan. Jadi besar harapan sekiranya setiap aktiviti itu mendapat sokongan ahli. Kalau bukan dalam kalangan ahli yang menjayakan program persatuan, siapa lagi?

“Bagaimanapun, saya puji keprihatinan persatuan yang sudi menjayakan aktiviti sebegini bagi mengumpul dana,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 September 2017 @ 2:15 AM