KEMANTAPAN vokal Zamani memukau peminat.
KEMANTAPAN vokal Zamani memukau peminat.
AIZAT tampil dengan persembahan yang santai.
AIZAT tampil dengan persembahan yang santai.
AMENG menyampaikan lagunya dengan penuh perasaan.
AMENG menyampaikan lagunya dengan penuh perasaan.
TETAMU kenamaan yang hadir.
TETAMU kenamaan yang hadir.
KAMISAH menerima penghargaan Anugerah Tan Sri Megat Junid daripada Tengku Amir.
KAMISAH menerima penghargaan Anugerah Tan Sri Megat Junid daripada Tengku Amir.
Ridzuan Abdul Rahman


Idea menggabungkan empat nama terkenal iaitu Datuk Jamal Abdillah, Ameng, Zamani dan Aizat Amdan ternyata menjadi tarikan istimewa Majlis Makan Malam Amal, Persatuan Pengasih Malaysia (Pengasih) yang berlangsung di Golden Chersonese Hall, Maju Tower, Sabtu lalu.

Peminat yang menyokong menerusi pembelian meja dan penyumbang dana datang sejak petang bagi mengelak terperangkap dalam kesesakan lalu lintas.

Mereka bagaikan tidak sabar menunggu persembahan bermula untuk melihat sendiri kelunakan suara penyanyi pujaan beraksi secara langsung depan mata.

Majlis Makan Malam Amal ini diadakan bertujuan mengumpul dana untuk pembangunan program dan mengisi tabung badan bukan kerajaan itu.

Ternyata ia berjaya mencapai matlamat kerana sambutan yang diberikan sangat menggalakkan sehingga menyaksikan tiada tempat kosong dalam dewan.

Kemantapan vokal berserta rangkaian lagu popular yang sememangnya diketahui ramai, berjaya menjadikan persembahan artis terbabit membuai emosi penonton.

Sambil menikmati juadah disediakan, penonton dihiburkan dengan persembahan pembuka pentas oleh Zamani menerusi lagu Gerimis Mengundang.

Vokal lemak merdu seperti dulu menjadi resepi terbaik Zamani untuk menarik perhatian peminat.

Tanpa disuruh, peminat sangat ‘sporting’ apabila turut sama menyanyikan lagu ini mengiringi persembahan Zamani.

Jelas, nyanyian bekas pelatih Pengasih ini berjaya mengalih seketika tumpuan mereka terhadap hidangan yang disediakan.

Zamani kemudian mengalunkan lagu keduanya, Rindiani yang turut menerima tepukan gemuruh penonton.

Pentas kemudian diambil alih Aizat Amdan yang menyampaikan lagu Jangan Menangis dan Hanya Kau Yang Mampu.

Kemantapan vokal penyanyi muda ini yang tenang melontarkan bait lirik yang indah ternyata memukau penonton yang hadir.

Persembahan semakin menarik apabila Ameng pula tampil menerusi lagu Kita Ditakdirkan Jatuh Cinta, Butakah Cinta dan Cinta Rasul.

Menerusi lagu ini, Ameng membuktikan vokalnya masih berkualiti dan kekal seperti dulu.

Menariknya, peminat yang hadir ke majlis makan malam ini dilihat memberi sokongan padu apabila memberi perhatian terhadap persembahan artis.

Ia berbeza berbanding sesetengah majlis lain yang menyaksikan artis terkial-kial membuat persembahan tapi peminat asyik menikmati hidangan disediakan.

Puas dihiburkan dengan persembahan Ameng, peminat disuruh berdiri untuk sama-sama menyanyikan lagu tema Pengasih yang dinyanyikan secara berduet oleh Ameng dan Aizat.

Lagu ciptaan komposer Zul Mahat dan lirik Amran Omar ini sememangnya menyentuh perasaan kerana membawa keluhan pelatih yang mengharapkan masyarakat agar memberi peluang buat mereka berubah.

Selain persembahan artis, pemberian Anugerah Tan Sri Megat Junid kepada sukarelawan, Datuk Kamisah Nor yang gigih membantu pengasih sejak tujuh tahun lalu diadakan.

Ia disampaikan Tengku Amir Tengku Ibrahim, kerabat diraja Pahang mewakili Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah selaku penaung Majlis Makan Malam Amal Pengasih.

Turut sama mengiringi Tengku Amir di atas pentas ialah Presiden Pengasih, Datuk Mohd Yunus Pathi.

Selesai agenda itu, kehangatan diteruskan lagi dengan persembahan kumpulan Acoustic Fourplay yang mendendangkan pelbagai koleksi lagu menarik antaranya Getaran Jiwa dengan gaya tersendiri.

Menghampiri jam 11 malam, Majlis Makan Malam Amal menutup tirai dengan meninggalkan kepuasan tersendiri dan kenangan indah buat penonton.

Selain berhibur, mereka puas kerana agenda mengumpul dana untuk pembangunan program dan mengisi tabung Pengasih tercapai.

Jamal hadir menyokong

Biarpun tidak mengadakan persembahan untuk program ini, Jamal Abdillah tetap hadir sebagai tanda sokongan.

“Ini adalah kali kedua program amal mengutip dana diadakan. Ia pertama kali diadakan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur lima tahun lalu yang turut menampilkan Saleem dan Misha Omar, manakala pengarah muziknya S Atan.

“Tapi itu lebih terarah kepada konsert dan bukannya majlis makan malam seperti ini. Saya juga terbabit secara langsung,” katanya.

Menurutnya, dia bukan sengaja tidak mahu buat persembahan pada program ini sebaliknya terikat dengan kontrak persembahan lain.

“Saya ada komitmen persembahan sempena Minggu Setiausaha dengan sebuah hotel terkenal dan tak dibenarkan terbabit dengan persembahan membabitkan jualan meja atau tiket di sekitar ibu negara.

“Itu perjanjian eksklusif dan mereka bayar mahal. Saya perlu menghormatinya. Persembahan Minggu Setiausaha itu sudah selesai dan dapat sambutan hangat.

“Jadi, saya boleh menyanyi untuk majlis ini, namun, Pengasih pula sudah ada susunan artisnya sendiri.

“Memanglah terkilan kerana apa salahnya saya menyanyikan beberapa lagu untuk malam ini. Tempat jatuh lagi dikenang, apa salahnya saya menyanyi untuk bantu Pengasih,” katanya yang memuji usaha digerakkan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 April 2017 @ 12:43 PM