ZAMANI genggam penghayatan yang sangat dalam ketika menyampaikan lagu popular Slam.
ZAMANI genggam penghayatan yang sangat dalam ketika menyampaikan lagu popular Slam.
Zaara Talita


MASIH kekal sama, tiada yang berubah. Walaupun selepas tiga dekad lamanya, alunan gemersik vokal tetap sama seperti dulu.

Aura kumpulan Slam yang ditunjangi Zamani (penyanyi), Shah (gitar), Ajak (gitar), Eddie (keyboard), Man (dram) dan Lili (bass) seakan-akan terus memberi semangat buat peminat tegar mereka untuk menyokong perjalanan seni kumpulan itu.

Jeritan dan sorakan peminat yang hadir seakan-akan menyuntik semangat mereka pada malam Konsert Slam Nur Kasih yang berlangsung di Zepp Kuala Lumpur, Ahad lalu.

Membuka tirai sekitar jam 8.45 malam, kumpulan itu tidak menunggu lama memulakan persembahan dengan lagu pembukaan iaitu Kembali Merindu dan Biarkannya.

Rata-rata peminat yang hadir meleraikan kerinduan terhadap Slam dengan menyaksikan semua anggota kumpulan itu atas pentas.

Zamani keluar dari belakang pentas dengan imej sederhana mengenakan jaket kulit berwarna merah dan bercelana hitam.

Di sebalik kaca mata hitam, Zamani menggenggam penghayatan yang sangat dalam ketika menyampaikan lagu popular Slam dalam konsert yang dibawakan oleh AV Group & WMD Event ini.

Tanpa sedar masa berlalu begitu pantas, Slam memilih untuk meneruskan persembahan tanpa rehat kerana tidak mahu menganggu momentum dan semangat peminat pada malam itu.

Kehadiran Zamani di mana pun, apatah lagi di pentas konsert akan sentiasa dipenuhi aura positif. Di sebalik tubuh yang kurus, dia masih mampu menghabiskan durasi dua jam persembahan dengan penuh bertenaga.

Sesekali kelihatan Zamani meneguk air sebelum kembali memberikan sepenuh jiwa raga diiringi anggota Slam yang lain.

Sempat bercanda mengenai keadaan kesihatan, Zamani membuat peminatnya panik apabila memaklumkan dirinya tidak sihat. Pengumuman mengejutkan dibuat pemain bass, Lily apabila Zamani tida

k muncul di pentas untuk segmen 'encore' selepas namanya beberapa kali dipanggil.

Susulan itu, suasana menjadi agak kecoh apabila penonton melahirkan kegusaran kerana bimbang penyakit dideritai Zamani berulang kembali.

Bagaimanapun, keadaan kembali reda apabila menyedari pengumuman itu sekadar gimik untuk mengusik penonton apabila Zamani muncul, sekali gus menunaikan permintaan peminat yang belum puas menyaksikan kumpulan Slam beraksi.

Untuk segmen itu, Zamani menyampaikan lagu Mentari Muncul Lagi dan Kembali Terjalin yang menjadi lagu menutup tirai konsert berdurasi dua jam itu.

Zamani turut mengembalikan nostalgia peminat menerusi lagu hit Slam s

eperti Buat Seorang Kekasih, Suratan, Kurnia, Rindiani, Jika Kau Rasa Getarnya, Kita Terpaksa Bermusuhan dan Maria Mariana yang menyaksikannya mengundang dua penonton wanita menyanyi bersama.

Enggan membiarkan peminat hanyut dalam balada syahdu, Zamani turut menyampaikan beberapa lagu rancak iaitu Kembali Merindu, Manisnya Rindu, Entah Mengapa dan Nurkasih untuk menghangatkan lagi suasana konsert.

Walaupun pun ada yang menganggap vokalnya tidak semerdu dulu, tetapi betapa tingginya sayang peminat terhadap Zamani, mereka menutup kelompongan yang berlaku dengan menjadi suara kedua penyanyi itu.

Zamani sememangnya penyanyi yang sangat disayangi peminat bahkan semua orang. Ternyata aura dan populariti Slam masih kekal membara seperti hangatnya mentari yang merah menyala.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 Ogos 2023 @ 6:45 AM