SLAM merakamkan gambar kenangan bersama penganjur.
SLAM merakamkan gambar kenangan bersama penganjur.
Ridzuan Abdul Rahman


Kejayaan Konsert Kurnia yang berlangsung di StarXpo Centre, Kenanga Wholesale City (KWC), Kuala Lumpur 14 Mei lalu membuka jalan kepada penganjuran Konsert Dua Dekad Slam Kembali Terjalin Bersama DMS pula.

Konsert di Stadium Tertutup Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG) Sabtu lalu membuktikan kehebatan Slam sebagai kumpulan pop rock yang sukar ditandingi mana-mana band sedia ada.

Tidak keterlaluan dikatakan konsert ini lebih baik daripada Konsert Kurnia sekali gus menunjukkan taring sebenar Slam yang pernah memukau ribuan peminat bukan sahaja di Malaysia bahkan Indonesia, Brunei dan Singapura.

Mungkin kerana cukup persediaan, konsert kali ini amat menarik dan mengujakan 5,000 peminat yang hadir. Sistem bunyi dan pencahayaan terbaik dari Apple Event turut menyumbang kejayaan konsert ini.

Seperti di Kuala Lumpur, peminat di Johor serta negara jiran Singapura juga merindui kelibat Zamani (penyanyi), Shah (gitar), Lily (bass), Ajak (gitar), Eddie (keyboard) dan Man (dram) selepas lama tidak mengadakan persembahan di situ.

Tepat jam 9 malam, pentas yang gelap mula diterangi dengan lampu sorot (followspot) ketika Eddie memainkan muzik intro persembahan. Peminat mula menjerit tanda teruja menyaksikan persembahan Slam.

Selepas itu, satu persatu lampu sorot di posisi anggota Slam dinyalakan menandakan Konsert Dua Dekad Slam Kembali Terjalin Bersama DMS akan bermula. Peminat sudah tidak sabar menunggu kelibat Zamani.

Akhirnya penyanyi berusia 44 tahun ini tampil mendendangkan lagu pertamanya Sinar Menunggu. Menerusi segmen pertama ini, Zamani turut menyampaikan rangkaian lagu popularnya termasuk Entah Mengapa, Kini Hanya Sepi dan Maria Mariana.

Kehadiran rombongan anggota kelab peminat Zamani dari Kuala Lumput menambah kemeriahan konsert ini. Gelagat mereka yang agak agresif sepanjang persembahan berlangsung menghidupkan suasana.

Kurangkan celoteh

Seperti konsert terdahulu, Zamani memilih mengurangkan celoteh dan memukau peminat dengan kelunakan vokalnya mengalunkan lagu Slam. Cukup mengagumkan apabila suaranya tidak ubah seperti dalam album.

Selepas berehat seketika, Zamani tampil dalam segmen kedua dengan menyanyikan lagu kegilaan ramai termasuk Kembali Merindu, Mentari Muncul Lagi dan Tak Mungkin Berpaling.

Dia tidak perlu bersusah payah mengajak peminat menyanyi bersamanya kerana mereka dengan rela hati mengalunkan lagu yang pernah disenaraikan di pelbagai carta popular.

Jika ada pun interaksi Zamani dengan peminat yang hadir, hanyalah ucapan terima kasih di atas sokongan terhadap konsert ini. Berkali-kali dia melafazkan ucapan yang sama.

Zarul Umbrella tampil sebagai artis undangan menyampaikan lagu Bukalah Hatimu dan Ramalanku Benar Belaka bagi memberikan ruang buat Zamani berehat sebelum muncul dengan segmen ketiga.

Menerusi segmen ini, anggota Slam merakamkan penghargaan terhadap bekas pengurus Slam, Johan Aziz dan Allahyarham Rahim Othman yang menghasilkan album sulung kumpulan itu berjudul Slam pada 1993.

Zamani berkongsi pengalaman dan dugaan yang dilalui sebelum menyanyikan lagu Syair Si Pari-Pari, Buat Seorang Kekasih, Rindiani, Bukan Niat Membalas Derita, Tiada Aku Jemu dan banyak lagi.

Pujian wajar diberikan kerana Zamani menyampaikan lagu Kisah Seorang Biduan nyanyian asal Datuk Dahlan Zainuddin. Ia didedikasikan kepada Dahlan yang kini berehat akibat serangan penyakit angin ahmar.

Tanpa sedar Slam akhirnya masuk ke segmen terakhir dan mereka memilih mendendangkan lagu Manisnya Rindu, Jika Kau Rasa Getarnya, Izinku Berundur, Gerimis Mengundang dan Kembali Terjalin.

Kesimpulannya, menerusi persiapan rapi dan latihan secukupnya, Slam berjaya menampilkan persembahan cemerlang sehingga semua yang hadir berpuas hati.

Ditemui selepas konsert melabuhkan tirai, Shah menzahirkan rasa syukur kerana ia berjalan lancar seperti yang dirancang.

“Terima kasih buat semua media kerana menyokong Slam sejak dulu sehingga kini. Tak guna kami buat persiapan hebat sekiranya peminat tak datang.

“Konsert ini sukses kerana komunikasi yang baik antara semua pihak iaitu Slam, media dan peminat. Memang agak susah untuk membezakan empat segmen persembahan Slam tapi kami seronok.

“Sebenarnya segmen ini kami ambil daripada konsert yang lalu tapi ditambah baik agar lebih menarik. Kami mahu peminat terhibur,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 September 2016 @ 7:01 AM