FIZZ (kiri) sebagai
FIZZ (kiri) sebagai

FILEM:Mat Tudung Begins

PENGARAH: Datuk Fizz Fairuz

PENULIS SKRIP: Aloy Paradoks

PELAKON: Datuk Fizz Fairuz, Achey, Isyariana, Maryam Durian Kimchi, Kazar, Fazlina Ahmad Daud, Abang Gee dan Mimi Peri

TERBITAN: Rain Maker Creation Sdn Bhd

ULASAN: Syafil Syazwan Jefri

(Ulasan filem ini adalah pandangan peribadi penulis berdasarkan pemerhatian dan pengalamannya menonton filem berkenaan)

MAT Tudung Begins arahan dan lakonan Datuk Fizz Fairuz adalah filem prekuel Mat Tudung yang ditayangkan pada 2014.

Kali ini jalan cerita berbeza, tetapi masih mengekalkan tunjang utama iaitu watak Johari dan Johana.

Mat Tudung Begins mengisahkan mengenai Johari yang bekerja di kedai peralatan sukan membantu rakannya, Sabri (Achey) yang bekerja di hotel.

Tugas Johari adalah untuk menyelamatkan hotel itu daripada mendapat rating rendah daripada juri yang akan menjalankan audit.

Namun, tugasnya di situ mula berhadapan konflik apabila dia mula jatuh cinta dengan Neesa (Isyariana) yang juga anak pasangan Datuk Wahab (Kazar) dan Datin Moon (Maryam Durian Kimchi).

Dia kemudian menggunakan helah untuk mewujudkan karakter wanita bernama Johana yang pada awalnya sekadar menjadi tempat luahan perasaan Neesa.

Dari situ, timbul pelbagai konflik yang mengheret Johari serta Sabri ke satu fasa yang sukar buat mereka.

Dari segi komedi, saya yakin filem ini mampu menjadi satu ruang santai untuk mereka yang hanya mahukan filem ringan tanpa perlu banyak berfikir.

Jalan cerita ringkas dan mudah. Penonton hanya perlu mengikuti arus dan alur yang sudah disiapkan pengarah.

Lakonan pelakonnya juga tidak terlalu berat atau banyak bermain emosi kecuali beberapa babak membabitkan watak Neesa.

Yang menariknya, filem ini turut menampilkan pempengaruh dari Indonesia, Mimi Peri dan penggambarannya dijalankan secara 'online' memandangkan Mimi berada di Indonesia.

Satu lagi tarikan adalah penampilan Maryam yang cukup dikenali sebagai YouTuber dari Korea Selatan. Sedikit sebanyak, filem ini berjaya membuktikan kemampuan lakonan Maryam.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 Ogos 2023 @ 6:45 AM