TIDAK sukar barisan pelakon Mat Tudung Begins mencipta keserasian di set penggambaran. - FOTO Aziah Azmee
TIDAK sukar barisan pelakon Mat Tudung Begins mencipta keserasian di set penggambaran. - FOTO Aziah Azmee
Georgie Joseph


BAKAL

menjengah pawagam pada 3 Ogos ini, Mat Tudung Begins terbitan Rain Maker Creation Sdn Bhd pastinya ditunggu peminat yang mengikuti jenama filem Mat Tudung sebelum ini.

Bagaimanapun, penerbit, pengarah dan pelakonnya, Datuk Fizz Fairuz, 43, secara peribadi menyifatkan impian dapat merealisasikan filem sulungnya itu cukup besar maknanya.

Hampir sedekad juga percubaan Fizz melobi filem itu daripada Datuk Norman Abd Halim selaku wakil penerbit asal jenama Mat Tudung. Akhirnya pada awal tahun lalu, dia mendapat 'lampu hijau' menghasilkan filem prekuel itu.

"Filem Mat Tudung pada 2014 yang diterbitkan syarikat milik KRU, Showbiz. Selama lapan tahun, saya usulkan kepada Norman, baru dia setuju bagi saya buat prekuel itu.

"Saya suka buat balik prekuel cerita yang pernah saya buat. Ia sudah ada pengikutnya dan terbukti bila buat 'comeback' cerita sebegitu, alhamdulillah mengujakan ramai.

"Filem Mat Tudung pun masih ditayangkan di TV dan ada permintaan untuk membuat cerita prekuel juga. Itu yang tercetus idea untuk saya buat filem ini," katanya.

Proses rombakan jalan ceritanya juga dibuat beberapa kali. Ini kerana Fizz sebenarnya sudah ada skrip berbeza lapan tahun lalu, namun akhirnya menukar semula jalan ceritanya bagi menyuntik idea segar.

"Bila prekuel ini, saya kena tukar semua perkara termasuk pelakon. Menariknya dalam Mat Tudung Begins, saya berkawan baik dengan Mimi Peri. Dia membuat kemunculan khas dan wataknya yang mengatur cerita ini.

"Memang idea baharu kerana konsep dan skrip awalnya sudah lain. Pelakon yang terbabit pun sudah ada dalam kepala ikut kesesuaian masing-masing. Ternyata mereka terutama Maryam memberikan lebih daripada yang saya minta," katanya.

Sementara itu, Achey Bocey, 36, yang membawa watak Sabri atau Sabrina yang berpenampilan wanita dan bertudung membuatkan perasaannya bercampur baur.

Dia juga sedia maklum risiko mengenai watak sebegitu pasti akan dipersoal selain mungkin menerima kritikan. Apa pun, dia percaya wataknya membawa 1,001 pengajaran.

FIZZ Fairuz. - FOTO Aziah Azmee
FIZZ Fairuz. - FOTO Aziah Azmee

"Kadang-kadang nak jadikan pengajaran memerlukan pengorbanan. Kalau hanya sampaikan dalam bentuk lisan, mesej sebenarnya mungkin tak sampai.

"Sebagai pelakon, memang saya salah, tetapi orang sekarang belajar daripada perbuatan, baru dapat jadi ikhtibar. Jangan hanya dengan melihat poster terus hentam saya. Cuba tonton filem baru nampak apa sebenarnya yang nak disampaikan," katanya.

Isyariana, 32, pula sangat teruja apabila berpeluang terbabit sama dalam filem diminatinya itu.

"Saya memang tengok Mat Tudung dan bekerja dengan Fizz sangat menyenangkan. Jadi, saya sangat teruja terima naskhah itu. Keseluruhan penggambaran memang sangat seronok.

"Sebelum ini saya banyak ambil watak sedih atau bermain emosi. Bila dapat cerita kelakar ini, teruja sebab memang saya suka sangat watak komedi. Watak itu masuk dengan karakter sebenar saya," katanya.

Menurut Isyariana, wataknya bukan berperanan buat lawak. Dia lebih kepada menjadi bunga dan pemanis dalam filem itu. Semula jadinya dia pun memang gila-gila, jadi nak setarakan momentum itu akuinya senang.

"Oleh kerana watak saya adalah anak orang kaya, saya kena pastikan jaga pembawaan itu contohnya bahasa tubuh. Itu antara kerja rumah yang saya kena buat di belakang tabir.

"Cabaran untuk saya tidak terlalu rasa sangat. Disebabkan ia sekadar komedi ringan, saya banyak kepada memastikan diri dapat bergaul sebaiknya dengan setiap pelakon lain," katanya.

Pertama kali ke layar perak, pempengaruh Maryam Youranae, 31, bersyukur dapat merasai pengalaman berharga selain mendapat tunjuk ajar sepanjang penggambaran filem terbabit.

"Kami menjalani penggambaran selama 10 hari di Genting Highlands. Saya seronok kerana pelakon lain banyak membantu dan memberi semangat terutama bagaimana mahu menjadikan watak yang dibawakan lebih kelakar.

"Fizz juga banyak memberi tunjuk ajar sepanjang penggambaran. Ia satu pengalaman baharu yang menyeronokkan. Malah, saya juga terbuka sekiranya mendapat tawaran membintangi filem lain," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 Julai 2023 @ 6:43 AM