Maryam Younaarae bersama ibunya
Maryam Younaarae bersama ibunya
Zaara Talita


Kuala Lumpur: Pempengaruh media sosial, Maryam Younaarae berkongsi rasa sebak keterbukaan ibunya untuk mendalami agama Islam.

Maryam menjelaskan ibunya turut membawa pulang ke Korea telekung miliknya untuk mendalami agama Islam selepas mengikutinya ke masjid ketika bercuti di Malaysia.

"Ibu datang bercuti di Malaysia selama dua minggu dan pada hari terakhirnya di sini, saya mengajak ibu untuk mengikut saya ke masjid. Saja hendak memberikan pengalaman kepada ibu untuk merasai pengalaman dan perasaan menjejakkan kaki ke masjid.

"Bukanlah hendak memaksa ibu memeluk agama Islam, cuma memberikan pengalaman yang baru kepadanya. Malah, saya juga tidak 'expect' ibu setuju untuk mengikut saya ke masjid pada waktu Subuh.

"Lebih mengejutkan, ibu hanya tidur dua jam saja dan sudah bangun awal hendak mengikut kami ke masjid. Malah, saya turut memberitahu kepada ibu, perlu menutup aurat jika masuk ke masjid.

"Sejujurnya saya tidak dapat mengungkapkan dengan kata-kata perasaan ini. Ada rasa sedih, gembira dan semuanya ada. Jadi, ibu meminta untuk membawa pulang telekung untuk mendalami Islam," kata Maryam ketika ditemui di majlis pratonton filem Mat Tudung Begins arahan sulung Datuk Fizz Fairuz yang turut menampilkan personaliti media sosial itu sebagai teraju utama.

Selain Maryam, filem itu turut dibintangi oleh Achey, Isyariana dan ramai lagi.

Terdahulu, Maryam memuat naik perkongsian di Instagram bersama ibunya serta memaklumkan hari terakhir dia bersama ibunya di Malaysia dan akan pulang ke Korea.

Menerusi entri berkenaan, Maryam berkata sudah 3 tahun dia tinggal di Malaysia dan berjauhan dengan keluarga.

Menurutnya, sebagai anak perempuan tunggal dia juga turut rindukan kasih sayang seorang ibu dan kehadiran ibunya itu membuatkan dirinya rasa disayangi.

Sejak Januari lalu, perkongsian personaliti media sosial itu menjadi perhatian apabila tampil berhijab dan ramai yang mendoakan agar terus istiqamah untuk terus bertudung.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 Ogos 2023 @ 3:53 PM